Namun, apa yang merisaukan, adakah pasukan lain yang mampu memberi cabaran kepada JDT pada masa akan datang, demi kebaikan bola sepak negara?

Sudah diketahui umum, pasukan JDT dibarisi oleh kebanyakan pemain kebangsaan, dan juga mempunyai pemain import yang berkualiti serta fasiliti dan kemudahan yang bertaraf dunia, dan dengan JDT semakin meningkat, adakah pasukan lain yang mampu memberi cabaran kepada JDT pada masa akan ini?

Pencabar terdekat bagi 2 musim lalu, Pahang kemungkinan mempunyai potensi untuk menjawab persoalan ini. Musim lalu mereka menjadi Juara Piala Malaysia, dan musim ini, mereka turut mendahului liga pada jangka masa yang lama sebelum dipintas dan layak ke pusingan suku Akhir piala AFC. Namun prestasi tak menentu di penghujung musim liga dan juga di Piala Malaysia musim ini merisaukan segelintir peminat.

Kekalahan dua perlawanan berturut-turut, sebelum menang keatas PDRM hujung minggu lalu masih menjadi kebimbangan, dan dengan gossip yang mengatakan bahawa Zainal Abidin Hassan mungkin akan meninggalkan skuad tok gajah untuk bersama Selangor musim hadapan mungkin juga menjadi punca untuk mereka gagal berkembang.

Begitu juga dengan Selangor. Gah sebagai salah satu kuasa besar di Malaysia pada satu ketika dahulu, prestasi pasukan gergasi merah gagal memuaskan hati peminat mereka.

Kali terakhir menjadi juara pada 2009 dan 2010, Selangor bagaimanpun masih lagi berjaya berada di posisi tiga teratas semenjak 2009. Namun, gagal memberikan cabaran sengit setiap kali perlawanan liga mahupun piala Malaysia, dan peminat bertanya bagaimana Selangor akan kembali ke zaman90-an, di mana mereka sering menjadi nama yang digeruni peminat.

Satu lagi nama yang mencipta kejayaan beberapa musim lalu, namun jatuh merudum adalah Kelantan. Pasukan The Red Warriors pernah menjadi sebuah pasukan kebal yang sukar ditewaskan oleh mana-mana pasukan lain, dan ia dibuktikan apabila mereka berjaya memenangi tiga piala, (Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA) pada 2012, termasuk berjaya mempertahankan kejuaraan liga yang dimenangi pada 2011.

Namun begitu, masalah dalaman seperti isu kewangan dan gaji pemain menjadi punca kepada kejatuhan gergasi pantai timur ini. Pemain seperti Badri Radzi sudah mula dipaut usia dan prestasi pemain muda juga gagal memberi keyakinan, menyebabkan persembahan mereka merudum dan gagal untuk mendapat tempat tiga teratas dalam liga semenjak tahun 2013.

Pasukan-pasukan lain yang sering menunjukkan potensi untuk memberi cabaran seperti Terengganu, PDRM, dan Perak juga sering gagal untuk memberi persembahan konsisten dalam perlawanan mereka.

Tatkala JDT terus membanggakan negara dengan persembahan dan menunjukkan prestasi cemerlang yang menggembirakan peminat di Johor malah di negeri lain juga, diharapkan ada pasukan lain yang dapat memberi cabaran kepada JDT, agar persaingan sihat dapat ditunjukkan, selain menaikkan minat dan merancakkan dunia bola sepak negara, saingan juga boleh melahirkan lebih ramai pemain berbakat tanah air.