Masihkah anda ingat pada 3 Mei 2020 lalu? yang mana Azlan Alias membuat pendedahan kepada Nadi Arena kemungkinan beliau akan meninggalkan pasukan Penang Black Panthers (PBP) jika saingan Liga Sepak Takraw (STL) musim 2020 boleh diadakan.

Azlan nyatakan, beliau akan bersama pasukan warga kota, KL Thunder setelah menabur bakti selama empat musim bersama PBP sehingga meraih tiga kejuaraan Liga Premier pada 2016 hingga 2018 serta dua trofi Champions Cup.

Pendedahan ini mendapat pelbagai reaksi peminat STL, terutamanya penyokong setia PBP yang menganggap perpindahan Azlan berkait dengan isu yang melanda pasukan PBP pada musim lalu sehingga dua jurulatih utama Mohd Helmi Ismail dan Mohamad Fazil Mohd Asri digugurkan serta penarikan diri pengurus pasukan, Abdul Hafiz Abdul Majid dan beberapa pemain utama.

Tetapi ini hanyalah kemungkinan, kerana setakat ini belum ada perbincangan terperinci atau pengesahan bahawa Azlan bebas menyertai mana-mana pasukan musim ini.

Malah, sekiranya proses perpindahan ini menjadi realiti, ia tiada kaitan dengan isu tersebut tetapi persoalannya kenapa destinasi Azlan ialah KL Thunder?

Ini disebabkan Majlis Amanah Rakyat Malaysia (MARA) kerana Azlan Alias adalah salah seorang kakitangan yang bertugas di Ibu Pejabat MARA.

Bermaksud, Azlan hanya menghormati dan mengikuti hasrat majikannya yang mahukan beliau beraksi bersama pasukan warga kota.

Jadi itu antara faktor utama dan kemungkinan Syahir Rosdi akan turut mengikuti jejak Azlan kerana Syahir juga berkhidmat di bawah bumbung yang sama.

Jika ini menjadi realiti, pastinya cabaran musim 2020 lebih menarik.

Dari sudut positif, pandangan saya perkembangan baik terutamanya ia akan membuka peluang buat pemain-pemain muda untuk diangkat selaku pemain utama. Mungkin sudah tiba masanya buat pemain muda seperti, Amir Syahiran Mohd Fuzi untuk mengambil alih tugas utama apit kanan PBP.

Jika peluang ini terus diberikan, secara tidak langsung memberikan pendedahan terbaik dan keyakinan buat pemain.
Sebagai contoh, Muhammad Zarif Marican bin Ibrahim Marican yang tampil kurang berkeyakinan pada awal musim lalu, tetapi Zarif beraksi begitu baik selepas menggalas tanggungjawab selaku tekong utama PBP ketika saingan Champions Cup.

Ini yang saya harapkan akan berlaku musim ini untuk melihat pemain-pemain muda berani sahut cabaran dan sekaligus merancakkan lagi perkembangan sepak takraw negara dan saingan STL.