Tuah ayam nampak di kaki, tuah Cristiano Ronaldo juga nampak di kaki.

Baru sahaja dinobatkan anugerah Ballon D'or bagi tahun 2016 atas prestasi cemerlang di peringkat kelab dan negara, tuah Cristiano Ronaldo tidak terhenti setakat itu.

Ronaldo yang bersama-sama skuad kebangsaan Portugal di Russia untuk Piala Konfederasi sah bergelar bapa kepada anak kembar lelaki.

Walaupun Portugal tewas kepada Chile dalam penentuan sepakan penalti di peringkat separuh akhir, namun kesedihan itu diganti dengan kelahiran cahaya mata kembar yang lahir di Amerika Syarikat.

Berita kelahiran anak kembar itu sebenarnya telah diketahui pihak media lebih awal, namun kesahihan mengenai kelahiran itu disahkan oleh Cristiano Ronaldo sendiri yang memuat naik status di media sosial peribadinya.

Penulis percaya ramai rakyat Portugal memberikan sokongan kepada Cristiano Ronaldo biarpun gagal membantu Portugal menewaskan kepada Chile dalam separuh akhir Piala Konfederasi.

Terbaru, Ronaldo meninggalkan skuad Portugal dan Russia untuk bersama anak-anak dan keluarganya serta tidak akan bersama Portugal untuk penentuan tempat ketiga dan keempat bertemu Mexico

Namun, keputusan yang dibuat mendapat restu dari presiden Persekutuan Bolasepak Portugal yang turut mengucapkan tahniah atas kelahiran cahaya mata kembar itu.

Terdahulu, heboh di media-media antarabangsa mengenai Ronaldo yang dikhabarkan mahu meninggalkan Real Madrid selepas kecewa apabila dikatakan cuba menipu mengenai isu cukai.

Pemain kelahiran Kepulauan Mediera itu dikatakan mahu agennya, Jorge Mendes, melakukan apa yang terdaya bagi membawanya keluar dari Real Madrid. Khabar angin itu sekaligus mengaitkan Ronaldo dengan kelab lamanya, Manchester United, selain minat yang ditunjukkan oleh Paris Saint-Germain (PSG).

Dengan jendela perpindahan akan ditutup menjelang sepak mula liga-liga utama Eropah Ogos nanti, besar kemungkinan, Cristiano Ronaldo akan kekal di Santiago Bernabeu.

Ditambah pula Ronaldo masih berada di kemuncak prestasi biarpun sudah berusia 32 tahun, Los Blancos tentunya tidak mahu melepaskan ayam tambatan mereka semudah itu sahaja. Pasti ada 'harga' setimpal yang perlu dibayar jika mahukan pemain terbaik dunia lima kali itu meninggalkan Real Madrid.

Bermula sebagai seorang pemain amatur di jalanan, sehinggalah bergelar pemain terbaik, tuah Ronaldo sememangnya sama seperti ayam, nampak di kaki!