Everton hadir ke 'Derby Merseyside' menentang Liverpool semalam dengan satu niat mudah -- bukan kemenangan yang diburu tetapi kekalahan harus dielakkan tidak kira apa pun.

Buat suatu jangka waktu, misi itu tampak menuju kejayaan.

Everton bermain dengan teratur dan lebih daripada sedia untuk berentap dari segi fizikal -- sesuatu yang wajib dilakukan buat mana-mana pasukan yang enggan dibelasah di Anfield.

Malangnya, Everton seolah-olah terlupa satu prinsip Liverpool musim ini -- mereka pasti akan membolosi jaring lawan.

Jika Everton mensasarkan keputusan seri, mereka haruslah turut menjaringkan gol, malang sekali satu-satunya percubaan tepat mereka hanya hadir pada waktu kecederaan. 

Misi mereka ternyata gagal.

Pengurus Everton, Frank Lampard, lebih daripada sedar bahawa jika anak buahnya bersemuka secara tepat dengan Liverpool, jurang perbezaan kualiti di antara pemain kedua-dua pasukan hanya akan menyebabkan kelemahan mereka jelas terdedah dan mereka bakal tewas dari awal lagi.

Maka, Everton dikerah dalam posisi 5-4-1, satu posisi yang ternyata mementingkan pertahanan dan pelbagai taktik kotor dan membazirkan masa turut digunakan -- penjaga gol, Jordan Pickford, menunjukkan aksi-aksi dramatik dalam menyelamatkan bola mudah dan mengambil masa begitu lama untuk melakukan sepakan mula di antaranya.

Dalam peluang yang teramat jarang diperoleh, di mana Everton mendapat ruang untuk melakukan serangan balas, penyerang tunggal mereka, Richarlison, langsung tidak mampu mencabar pasangan pertahanan Liverpool, Virgil Van Dijk dan Joel Matip -- akhirnya dia lebih banyak menghabiskan masa terbaring di tanah ataupun merungut di telinga pengadil semata-mata.

Everton tidak dilihat mampu untuk menjaringkan gol, namun mereka tidak kelihatan seperti bakal dibolosi juga.

Abdoulaye Doucoure mengekang ketat pemain kreatif Liverpool, Thiago Alcantara, manakala Mohamed Salah dikawal rapi oleh gandingan Gordon dan Vitalii Mykolenko -- pelbagai jenis serangan Liverpool digagalkan.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, dalam misinya memimpin Liverpool menjuarai empat trofi musim ini, menemui jalan penyelesaian dengan memasukkan penyerang dari Belgium, Divock Origi.




Hampir serta-merta, dia membuka ruang untuk Salah melakukan hantaran silang kepada Andy Robertson dan tandukan pemain bek kiri itu memecahkan kebuntuan.

Everton membalas dengan akhirnya bermain secara lebih agresif dan cuba memberikan lebih banyak tekanan melalui barisan pertahanan tinggi, malang sekali Origi sekali lagi memainkan peranannya dan menanduk masuk gol kedua Liverpool pada minit ke-85.

Akhirnya, segala usaha Everton sia-sia sahaja dan mereka tetap kekal dalam zon turun divisyen manakala Liverpool terus memburu Manchester City bagi merebut takhta juara liga musim ini.

Satu lagi 'Derby Merseyside' yang penuh dengan drama, tetapi turut memaparkan perbezaan di antara pasukan mantap dan pasukan licik semata-mata tanpa kualiti untuk dibanggakan.