Kedudukan ranking dunia telah menunjukkan jurang perbezaan ketara di antara pasukan Lubnan dan Malaysia.

Kekalahan memang sudah dijangka, namun bagaimana kekalahan itu yang akan menjadi persoalannya?

Semua itu telah terjawab apabila anak-anak buah Nelo Vingada kecundang 2-1 kepada Lubnan pada saat-saat akhir perlawanan kelayakan Piala Asia di Stadium Larkin, Selasa lalu.

Ramai yang mempertikaikan kekalahan tersebut, baik peminat atau media massa, dengan mengkritik secara terang-terangan kekalahan itu kepada Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dan ketua jurulatih skuad kebangsaan, Vingada.

Apakah yang bermain bola itu Presiden FAM dan Vingada? Pastinya tidak.

Sebab itu kita perlu melihat secara keseluruhan dan realistik mengikut logik akal dari setiap sudut.

Kita semua maklum hanya baru dua bulan lebih Tunku Ismail menerajui FAM dan mampukah baginda merubah landskap bola sepak negara dalam sekelip mata?

Sedangkan itu memerlukan sokongan semua, termasuk daripada ahli-ahli gabungan FAM, media dan pencinta bola sepak, sekiranya kita ingin melahirkan pemain-pemain berbakat dan bertaraf antarabangsa.

Adakah kita membuat kajian tentang itu selain menilai sikap dan mentaliti pengurusan yang ada di dalam persatuan dan budaya mentaliti serta sikap orang-orang kita.

Bukan mudah untuk kita merubah sesuatu keadaan dengan drastik, terutama dalam membangunkan bola sepak negara, kerana ia memerlukan perubahan secara keseluruhan, bukan sahaja dalam program-program latihan serta falsafah yang diwujudkan FAM kepada ahli gabungan untuk diselaraskan tetapi sikap pencinta bola sepak itu sendiri.

Sebagai contoh paling mudah, adakah kita mendidik tentang pemakanan berkhasiat dan persiapan sebagai seorang atlet di dalam kelompok diri sendiri, terutama dalam keluarga kita.

Selagi soal pemakanan sihat yang mudah ini begitu sukar untuk kita merubah mentalitinya, inikan pula untuk merubah sekelip mata bola sepak negara.

Tidak perlulah kita menuding jari kepada orang-orang berkenaan tentang kekalahan kepada Lubnan itu berdasarkan kepada sikap dendam atau marah di atas apa yang dilakukan sebelum-sebelum ini.

Lebih baik kita mengambil sikap positif apa yang telah dilakukan olehnya tentang kebaikan dalam memajukan bola sepak sendiri. Sama-samalah kita menyokong perubahan yang ingin dilakukan pucuk pimpinan baharu FAM dan ahli jawatankuasa eksekutifnya mengikut pelan perancangan yang difikirkan.

Berilah ruang kepada Vingada untuk menilai pemain-pemain berbakat di dalam Malaysia untuk bersama-sama beliau menjulang nama Malaysia walaupun kita tahu perubahan itu bukan datang dalam jangka masa pendek.