Pertembungan dua individu di pihak berlawanan dengan perjuangan dan matlamat yang sama kesudahannya menyaksikan Roberto Mancini yang unggul sambil Gareth Southgate meratapi tuah yang terus enggan menyebelahinya.

Simpati ramai mungkin kepada England yang sudah terlalu hampir untuk menoktahkan penantian 55 tahun terhadap satu kejuaraan utama semula tapi pada penghujungnya, Itali yang lebih berhak, Itali yang lebih bertuah, Itali yang memiliki ramuan secukupnya untuk dinobatkan juara Euro 2020.

Peminat England menyanyikan “It’s Coming Home” tapi satu kain rentang di sudut biru Wembley menjawabnya dengan frasa “Football’s Coming Rome” – sama seperti dipekikkan pertahanan veterannya, Leonardo Bonucci, ke lensa kamera televisyen selepas skuad Azzurri itu memenangi penentuan penalti 3-2 setelah kedudukan terikat 1-1 hingga selesai masa tambahan.

England hanya ‘juara’ untuk 45 minit pertama, ‘juara bersama’ hingga selesai 120 minit permainan tapi perhitungan muktamad diungguli Itali.




Satu rentetan 34 perlawanan tanpa kalah dan kini juara Eropah – siapakah yang dapat membayangkannya sejurus Mancini dipertanggungjawabkan tugas pengurus tiga tahun lalu?

Perlawanan pertamanya pada 29 Mei 2018 menyaksikan Itali menang 2-1 ke atas Arab Saudi, yang menggunakan pertemuan persahabatan itu sebagai pemanas badan menjelang Piala Dunia di mana Itali gagal layak.

Mancini tampil menyahut cabaran untuk membina semula skuad Itali. Dari hari pertama lagi, dia melaungkan hasrat mengembalikan Itali ke tempat selayaknya, di mercu Eropah dan dunia.

“Kami dah bertahun-tahun tidak memenangi Kejohanan Eropah, jadi itu adalah matlamat pertama kami,” katanya ketika itu seperti disorot akhbar British, The Guardian, dalam analisis sejurus usainya Euro 2020 ini.

Awal pagi tadi, Itali mengungguli England dengan segala kesukaran – beraksi di gelanggang lawan yang sudah membenarkan kemasukan semula penonton ke stadium sambil Azzurri sekadar dibenarkan 1,000 penyokong untuk mereka kesudahannya menang hanya melalui penentuan penalti.

Mengapa tidak Itali? Selepas menamatkan peringkat kumpulan di tangga teratas dan menyingkirkan Austria dalam pusingan 16, Itali terpaksa berdepan pasukan no. 1 dunia, Belgium, dan seterusnya Sepanyol, lawan yang menundukkan mereka dalam final Euro 2012.

Selepas satu persatu lawan berkenaan ditundukkan, tinggallah England yang bertuah menjadi tuan rumah perlawanan akhir.

Gol pendahuluan Luke Shaw seawal minit kedua, hanya tambah menyulitkan ikhtiar mereka – Itali tidak pernah ketinggalan dalam kejohanan ini sehinggalah jaringan itu.

Namun, di sebalik segala komitmen dan keupayaan teknikal barisan penyerangnya, Itali harus menagih kudrat seorang pertahanan veteran, Leonardo Bonucci, untuk meragut mereka keluar dari rahang kekalahan selepas lebih sedikit daripada sejam permainan.

Pujian juga buat Mancini yang mengubah arus perlawanan dengan penggantian yang dilakukannya – pengenalan Domenico Berardi di tempat Ciro Immobile membenarkan Itali membuka ruang untuk memancing keluar pertahanan England, dengan Lorenzo Insigne memiliki lebih ruang untuk bergerak.




Mancini telah mengemudi Itali keluar dari zaman kegelapannya dengan menyerlahkan bukan saja keputusan cemerlang, malah juga keseronokan bermain umpama adik-beradik dan semangat persaudaraan yang akrab di dalam pasukan.

Tidak hanya itu, Mancini turut menemui sistem taktikal yang mengerah yang terbaik daripada pasukan -- 4-3-3 yang meluangkan untuk Jorginho dan Marco Verratti mencorakkan permainan dari tengah manakala Insigne, Federico Chiesa dan Berardi mampu menyusup dari tepi seperti ketika bersama kelab masing-masing.

Di Wembley, bagaimanapun, sistem itu tidak menjadi. Gol awal England, disusuli percaturan Southgate untuk tiga bek tengah, bermakna Itali sekadar menguasai bola dan ruang di bahagian tengah tapi tidak dapat membawanya ke mana-mana.

Namun, Mancini memiliki kelebihan di bangku pemain simpanannya. Penampilan Bryan Cristante dan Federico Bernardeschi segera mengubah wajah permainan untuk Itali mengikat kedudukan pada minit ke-67.

Tiba ke penentuan penalti, Itali sebelumnya tidak terhindar daripada kekecewaan, termasuk dalam separuh akhir Piala Dunia 1990 menentang Argentina di halaman sendiri hingga kepada sepakan Roberto Baggio yang melangit dalam final AS ’94 yang memberikan Brazil kejuaraan.





Kegembiraan juga pernah dikecapi, terutama dalam final menentang Perancis dalam Piala Dunia 2006, dan teristimewa sepakan Panenka oleh Andrea Pirlo yang menewaskan penjaga gol, Joe Hart, dan England dalam suku akhir Euro 2012.

Kejayaan terbaru ke atas England awal pagi tadi, harus akan paling diingati kerana ia menjadi penebus kegagalan layak ke Piala Dunia 2018 yang dianggap satu ‘bencana negara’.
Bersama-sama bekas rakan sepasukan Gianluca Vialli dan Attilio Lombardo dalam barisan kejurulatihan, Mancini telah mengotakan janjinya untuk menempatkan Itali di mercu Eropah semula dan yang tinggal kini ialah untuk menakluki dunia pula.