Selepas menunggu hampir dua bulan, akhirnya pemain dari Brazil, Bernard, melakukan penampilan pertama dalam kesebelasan utama Everton sewaktu menundukkan Leicester City 2-1, Sabtu lalu.

Mantap dalam setiap larian deras, dia tidak memerlukan masa yang lama untuk membuktikan kemampuan serta membalas kepercayaan pengendali, Marco Silva, terhadapnya apabila menghasilkan bantuan gol buat Richarlison.

Sejak musim lalu, Everton sudah mula membawa masuk muka-muka baru ke dalam skuad dalam usaha untuk membina semula pasukan.



Dalam masa kurang dari dua tahun, skuad The Toffees memulakan langkah pembaharuan musim lalu, membawa masuk pemain seperti Gylfi Sigurdsson, Jordan Pickford, Davy Klaassen, Theo Walcott dan Cenk Tosun sebelum meneruskan usaha itu dengan mendapatkan Lucas Digne, Richarlison, Andre Gomes, Yerry Mina serta Bernard bagi menghadapi saingan 2018/19.

Bernard hadir ke Goodison Park menerusi satu perpindahan percuma selepas kontraknya bersama Shaktar Donetsk tamat musim panas lalu dan ternyata Silva memainkan peranan dalam mempengaruhi keputusan pemain berketinggian 1.64 meter itu untuk menolak minat Chelsea, West Ham United serta dua kelab Milan untuk menyertai pasukan milik Farhad Moshiri itu.

Jika sebelum ini Richarlison diletakkan di bahagian sayap kiri bagi memberi laluan kepada Tosun selaku penyerang tunggal, kehadiran Bernard membolehkan bekas tonggak Watford itu lebih bebas di barisan depan.



Bernard dipertaruhkan Silva untuk bersama Walcott serta Sigurdsson, bertindak selaku pembantu di belakang Richarlison dan hasilnya, bekas produk Atletico Mineiro itu mudah menyempurnakan tugas dengan mengatasi kekangan Ricardo Pereira dan Daniel Amartey sebelum membuka ruang buat Richarlison menyumbat gol pembukaan.

Percaturan Silva yang banyak memulakan gerakan daripada Bernard dan Sigurdsson menyebabkan Richarlison meraih lebih banyak ruang sehingga Wes Morgan terpaksa melakukan halangan keras terhadap penyerang itu sebelum diperintah keluar padang.



Walaupun hanya satu bantuan gol dihasilkan, impak kehadiran Bernard jelas dilihat di barisan depan The Toffees.

Apa yang pasti, persefahaman tinggi yang dipamerkan Richarlison dan Bernard sewaktu di King Power harus dipertimbangkan setiap lawan Everton selepas ini.