Dua atlet terbaik dalam sejarah sukan Malaysia, Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol David, bersara pada 2019.

Malaysia kehilangan dua atlet terbaik dalam sukan masing-masing, Chong Wei dalam sukan badminton manakala Nicol dalam arena skuasy pernah berada di ranking nombor satu dunia.

Pandangan saya liputan tentang kejayaan atlet lain, temasya Sukan SEA Filipina dan isu panas sukan lain tidak kurang hebatnya, tetapi tumpuan utama 2019 sudah pasti tentang persaraan kedua-dua legenda negara itu yang bukan sahaja jadi tarikan dalam negara tetapi dari seluruh dunia.

Chong Wei sendiri tidak impikan persaraan sebegini di mana pengumuman yang penuh beremosi dibuat pada 13 Jun.

Hero badminton dunia, Chong Wei mengambil keputusan meninggalkan badminton kerana perlu berehat daripada kanser hidungnya.



Dalam 19 tahun mewakili negara, anak Pulau Pinang itu telah memenangi kesemua kejohanan terbesar dunia, namun antara kekesalannya, dia gagal hadiahkan pingat emas Sukan Olimpik, Sukan Asia dan Piala Thomas kepada Malaysia.

Lebih mengejutkan persaraan seorang lagi idola sukan negara, Datuk Nicol David terus menjadi topik perbualan rakyat Malaysia tahun ini yang sedikit sebanyak seperti tidak percaya dengan pengunduran satu lagi nama besar dalam sukan Malaysia.

Dipilih sebagai Greatest of All Time (GOAT) oleh peminat sukan seluruh dunia, Nicol mendominasi dunia skuasy dengan lapan kejuaraan dunia serta memimpin ranking terbaik dunia 9 tahun berturut-turut.

20 tahun mengibar Jalur Gemilang, pemain yang berpangkalan di Amsterdam, Belanda, sepanjang kariernya membuat pengumuman rasmi pada 19 Februari 2019 untuk bersara pada Jun melalui hebahan media termasuk memilih Astro Arena sebagai satu-satunya saluran televisyen di dunia untuk membuat liputan eksklusif pengumuman itu di mana saya dan rakan setugas, Akbar Sahari diberi penghormatan untuk membuat temu bual yang menyentuh hati.

"Kaulah satu-satunya, di antara berjuta", petikan lirik lagu 'Legenda' daripada penyanyi terulung, Sheila Majid.

Sedih kelibat Chong Wei dan Nicol tiada lagi, tetapi wira dan wirawati itu terus menyumbang kepada sukan negara dengan cara tersendiri selepas karier dalam sukan.

Oktober lalu, Chong Wei melalui yayasannya menyumbang RM1.4 juta ringgit kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan RM600,000 kepada Majlis Sukan Negara (MSN).

Baru-baru ini, pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu berkongsi di laman media sosial mendedikasikan kejayaannya kepada kesemua jurulatih yang membimbing dalam karier badmintonnya.

Nicol pula terus memberi inpirasi kepada komuniti sukan negara terutama kepada kanak-kanak perempuan dan wanita untuk berkecimpung dalam sukan bagi keyakinan dan pembangunan diri melalui kempen 'The Dream Remains', dan yayasannya yang akan dilancarkan tidak lama lagi.



Sekali lagi 2019 merupakan tahun pengiktirafan kepada Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol David.

Terima kasih di atas memori termanis sukan Malaysia, dan kami akan sentiasa merindui anda berdua.

Selamat tahun baru 2020, Chong Wei, Nicol dan seluruh rakyat Malaysia!