Dalam tidak sedar isu yang sering jadi percikan kontroversi membabitkan Malaysia-Indonesia ibarat tradisi yang sukar untuk dihapuskan.

Kejohanan Piala AFF bawah 19 tahun sudah pun melabuh tirai dan Malaysia dinobat selaku juara buat pertama kali selepas menumpaskan Myanmar 4-3 pada Sabtu lalu.

Kunjungan skuad kendalian Bojan Hodak di Surabaya Indonesia disambut dengan baik dan penyediaan pengangkutan yang sempurna namun sarkastik dengan penggunaan sticker Hello Kitty yang jelas terpampang di badan bas yang disediakan.

Pertama kali melihat bas keramat itu, terdetik di hati, adakah ini salah satu daripada mainan psikologi tuan rumah namun untuk penulis membesar besarkan isu ini seakan tidak wajar. Bimbang pulak orang label kita kaki complain !

"Kalau kita juara aku akan mainkan isu ini dalam bentuk santai". Itu ucap penulis kepada Jurukamera Astro Arena Azri Abdul Malik yang juga merupakan rakan sekerja penulis sepanjang 15 hari berada di Surabaya.

Memasuki hari kedua, penulis berkesempatan membuat liputan skuad negara dalam persediaan latihan mereka sebelum aksi pertama kempen Piala AFF bertemu Kemboja.

Sebaik smpai di padang latihan yang dikenali sebagai Lapangan Sier, dari jauh penulis dapat lihat Bojan Hodak menggeleng kepala melihat kondisi padang yang berlekuk dan keras serta mampu hadirkan kecederaan kepada pemain.

"It is too hard and dangerous. We need to do precaution session before start training". Itu antara ayat yang penulis ingat sebaik Hodak meneliti kawasan padang pada hari pertama sesi latihan mereka.

Memasuki hari ketiga, satu lagi isu menyelubungi skuad negara, apabila berlaku pertindihan jadual latihan melibatkan Malaysia dan Laos, secara jelas pelanggaran tempoh latihan di padang latihan yang sama dan lebih parah skuad negara terpaksa menunggu hampir 40 minit sebelum dibenarkan menjalani latihan.

Hodak masih bersikap tenang tidak mahu hal ini di perbesarkan dengan menganggap ia sebagai kesilapan komunikasi atau salah faham di antara beberapa pihak.

Ia tidak terhenti di situ. Kali ini melibatkan perubahan jadual perlawanan pula sebelum aksi terakhir kumpulan B bertemu Timor Leste yang sepatutnya berlangsung di sebelah malam namun di tukar ke sebelah petang menerusi info kurang 24 jam sebelum perlawanan.

Jelas riak wajah tidak puas hati dari Hodak, namun sekali lagi pengendali ini bersikap tenang walaupun secara peribadi beliau mampu membaca perubahan ini semata mata mahu beri kelebihan kepada pasukan tuan rumah Indonesia.

Siapa sangka hasrat Indonesia yang mahu bertemu Malaysia di peringkat final berlangsung lebih awal.

Kegagalan Indonesia mengatasi Thailand di peringkat kumpulan A mencorakkan pertembungan awal 'final sebelum final' membabitkan 2 negara serumpun ini apabila bertemu di peringkat separuh akhir.

Penulis sudah tidak mahu sentuh provokasi yang melanda skuad negara sepanjang saingan di peringkat separuh akhir selain kegagalan lampu limpah berfungsi secara tiba tiba sebelum babak penalti bermula. Semua sudah mengetahui keadaan itu dengan jelas dalam laporan yang di sediakan penulis di Nadi Arena.

‘ Orang lempar tahi kita beri bunga.’

Itulah gambaran yang mahu penulis mulakan sebelum ‘cerita wangi’ yang masih belum sampai kepada mana-mana pengikut setia skuad kebangsaan kebanggaan kita ini.

Ramai yang perlu tahu, dalam apa jua situasi diatas padang ketika perlawanan, tiada mana mana pemain pun yang akan mengelat dari membersihkan bilik persalinan.

Ia ibarat tradisi yang cuba diterapkan oleh pemain bawah 19 tahun negara dengan menjadikan skuad Jepun di Piala Dunia 2018 sebagai contoh terbaik mereka.

‘"Sorry kak, lambat sikit keluar, bersihkan dressing room tadi". Itu kata-kata dari Shivan Pillay Asokan, sebaik bertemu penulis untuk ditemubual selepas tamat aksi dengan Kemboja.

Satu lagi yang menjadi ikutan skuad negara, apabila memilih untuk menghormati pihak lawan dengan memberikan tanda hormat sebaik tamat perlawanan.

Walaupun masih belum menyeluruh jika dipraktikan ia akan menjadi budaya yang bagus dalam perkembangan sihat bola sepak negara selepas ini.

Semoga terus maju orang muda, bukan hanya di atas padang tapi dalam usaha membentuk budaya positif di dalam pasukan.