SEJAK dilantik sebagai jurulatih pasukan bola sepak negara Mei lalu, Nelo Vingada masih tercari-cari kemenangan sulung.

Anak didik Vingada tewas satu perlawanan rasmi -- 1-2 kepada Lubnan dalam pusingan kelayakan Piala Asia, seri 1-1 dengan Hong Kong dalam pertandingan yang sama, serta kecundang 1-0 kepada Myanmar dan 1-2 kepada Syria dalam dua perlawanan persahabatan.

Untuk menjatuhkan hukum kepada Vingada sekarang bukanlah sesuai.

Sebagai jurulatih asing pertama mengisi kerusi panas jurulatih kebangsaan selepas Bertalan Bicskei ditunjuk jalan keluar oleh FAM pada September 2005, Vingada wajar diberi masa membentuk skuad negara mengikut acuannya sendiri.

Vingada sudah tentu akan mengenal pasti kelompok pemain lebih besar apabila Piala Malaysia bersambung.

Dalam mindanya juga sudah tentu terbayang-bayang beberapa individu daripada skuad Sukan SEA untuk digandingkan dengan pemain senior.

Apabila ini diterjemahkan ke alam realiti, tentunya graf pasukan akan menunjukkan perkembangan positif.

Tinggal lagi peluang untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia 2019 terbentang luas mengikut format baharu.

Ketika kali terakhir Malaysia bersaing atas tiket tuan rumah 10 tahun lalu, Piala Asia ditandingi 16 pasukan.

Piala Asia 2019 di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) akan diadakan pada Januari 2019 dan ditandingi 24 pasukan, bermakna lebih separuh daripada negara anggota Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) akan bersaing dalam kejohanan paling berprestij di benua ini.

Rugi jika tertinggal bas.

Namun, sejarah mengajar kita untuk bersedia menghadapi kekecewaan sekali lagi.

Vingada sedang bergelut memikirkan barisannya bagi menghadapi Korea Utara (5 Oktober) dan Hong Kong (10 Oktober) nanti.

Usah terkejut jika perlawanan pelengkap jadual menentang Syria (27 Mac 2018) dibarisi muka-muka yang benar-benar menepati falsafahnya.

Barangkali ruang untuk Vingada bangkit adalah dalam Piala AFF 2018 kelak, sebagaimana ditekankan oleh bekas jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan.

Tugas Vingada tidak harus dicemburui ramai.

Kredit foto: Football Association Malaysia (Official) Facebook