Saya termenung memikirkan siapa yang patut diberi penghormatan Pembawa Bendera Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia Indonesia 2018?

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib mengatakan kriteria pemilihan utama ialah atlit yang sudah menabur banyak jasa kepada negara tetapi mereka yang tidak pernah diberi peluang juga boleh dipertimbangkan.

Dalam arena sukan negara, saya meletakkan empat bintang utama seperti filem 'Fantastic 4'.

Mengetuai senarai itu jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol Ann David (skuasy), Azizulhasni Awang (basikal trek) dan Pandelela Rinong (terjun).

Secara realistik, Nicol paling berpeluang rangkul emas.

Tetapi, keempat-empat mereka sudahpun menggalas tugas sebagai pembawa bendera kontinjen Malaysia sama ada di Sukan Olimpik, Asia, Komanwel dan Sea.

Jadi, saya fikir mungkin lebih baik berikan kepada atlit lain.

Selepas melakukan semakan, saya cadangkan penjaga gol hoki negara, S.Kumar.

Dia sudah mewakili negara selama 19 tahun, beraksi di Piala Dunia, Asia, Komanwel dan pelbagai kejohanan besar antarabangsa.

Dia banyak berkorban termasuk kehilangan ayah dan anak ketika tugasan antarabangsa.

Malah lebih penting, dia tidak pernah diberi penghormatan pembawa bendera.

Seingat saya, kali terakhir pemain hoki diberi penghormatan itu ialah Datuk Mirnawan Nawawi ketika Olimpik Sydney 2000.

Adakah cadangan ini akan menambah tekanan skuad hoki?

"Hoki patut dapat pembakar semangat buru emas Sukan Asia. Saya akan bawa cadangan ini dalam mesyuarat MOM," kata Nazifuddin.

Ini mungkin kali pertama dan terakhir jika Kumar terpilih kerana usianya sudah mencecah 39 tahun.

Saya tidak menolak, dia akan bersara jika Malaysia gagal ke Olimpik Tokyo.

Maka, saya cadangkan Kumar sebagai pembawa bendera kontinjen Malaysia ke Sukan Asia Indonesia 2018.