Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, merangka strategi sebelum berlepas ke Perancis, Jumaat ini, menjelang Kejohanan Berbasikal Trek Dunia ekoran ketiadaan ketua jurulatih, John Beasley, disampingnya.

Menerusi perkongsian bersama wakil Astro Arena, Karl Nunis, pelumba berusia 26 tahun itu menawarkan perspektif daripada seorang atlet bahawa betapa pentingnya figura jurulatih tersebut dalam kejohanan utama.

"Dalam perlumbaan untuk pecut dan keirin memerlukan taktikal yang rapi.

"Kadang-kadang pelumba tidak dapat apa yang berlaku, sebab itu pentingnya jurulatih dengan pelumba.

"Walaupun ketiadaan John, saya masih ada penolong jurulatih, Hasnizam Basri. Kami masih boleh berbincang cuma kali ini agak mencabar sedikit.

"Australia tidak membenarkan mana-mana rakyatnya dari Eropah balik ke negara," katanya di Nadi Arena menjelang kejohanan dari 20-24 Oktober itu.

Dia bakal membuat kemunculan ketiga dalam Kejohanan Dunia, malah atlet kelahiran Muar itu belum pernah beraksi di Velodrom Jean-Stablinski, Perancis.

Atas faktor itu, Shah Firdaus dan rakan sepasukan, Firdaus Zonis, diarahkan oleh Beasley untuk menganalisa reka bentuk velodrom berkenaan demi mencapai tahap kelajuan maksimum.

"Setiap kali dalam kejohanan berbeza, cara penggunaan gear dan kayuhan memang lain.

"Jaraknya sama, cuma lekuk dan ketinggiannya lain. Laluan lurus mahupun selekoh di trek berbeza misalnya kalau trek yang memiliki laluan lurus yang panjang, kami perlu gunakan gear besar atau kecil."