Harapan skuad berbasikal lebuh raya negara untuk pertahankan kedudukan kedua terbaik Asia dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) musim depan mungkin tergendala.

Ia selepas jurulatih skuad negara, Yusof Abdul Nasir, mendedahkan bahawa dia sedang buntu memikirkan mengenai ketiadaan platform untuk memilih pelumba terbaik negara gara-gara pembatalan Kejohanan Berbasikal Lebuh Raya Kebangsaan pada Ogos depan.

Sebelum ini, kejohanan itu menjadi medan Yusof untuk memilih pelumba terbaik bagi dibawa menyertai kejohanan penting seperti LTdL dan Sukan SEA.

Bagaimanapun, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) terpaksa membatalkan kejohanan itu, yang sepatutnya berlangsung 22 Ogos depan, kerana terikat dengan polisi kerajaan di bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

"Memang pening kepala sebab sekarang, pelumba sudah membawa haluan sendri dan hanya berkayuh bersendirian," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Adam Zamri.

"Sekarang (sekatan) mungkin sudah longgar tetapi dalam masa sama, sekiranya ia (jangkitan Covid-19) terjadi dalam skuad berbasikal, ia akan mematikan terus sukan ini kerana kami tidak dapat berlatih bersama-sama.

"Ada pelumba yang sudah membawa haluan masing-masing dan ada pelumba yang bertanyakan bila latihan akan dimulakan?

"Kami perlu menyatakan kepada PKBM mengenai tarikh kami akan kembali menjalani latihan dan meminta bantuan kepada MSN (Majlis Sukan Negara) untuk dapat (kebenaran) berkumpul dan memulakan latihan seperti biasa," katanya.

Dalam dua edisi sebelum ini, skuad kebangsaan memperoleh pencapaian yang membanggakan, iaitu merangkul jersi putih (pelumna terbaik Asia) tahun lalu menerusi Sofian Nabil Omar selain muncul pasukan kedua terbaik Asia bagi edisi 2020.

"Untuk saya pula, sekiranya Kejohanan Kebangsaan dibatalkan, mahu tidak mahu, kami perlu mengadakan kem latihan dan sesi pemilihan.

"Jika tiada kejohanan, kami perlu melakukan pemilihan melalui latihan," tambahnya.