Janamanjung Fellowship Ride (JMFR) 2018 yang telah berlangsung pada 29 April lalu telah menarik minat ramai pelumba basikal termasuk dalam dan luar negara.

Ini merupakan penganjuran kali ke 11 dan sebelum ini diuruskan oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) Janamanjung, namun pada kali ini, pihak korporat TNB mengambil alih penganjuran.

Sejak 2015, acara ini telah dianjurkan bersama Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dengan kerjasama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, dan Komunikasi dan Multimedia Negeri Perak bersempena mempromosikan tempat-tempat pelancongan di negeri Perak khususnya daerah Manjung.

Hakim Amir salah seorang peserta yang tidak melepaskan peluang beberapa tahun kebelakangan ini untuk mengikuti JMFR berkongsi akan keistimewaan perlumbaan yang diadakan di Perak ini.

“Perjalanan dan stesyen yang ditetapkan penganjur sangat menambat hati saya kerana kita bukan sahaja beriadah, tetapi di sepanjang ‘route’ kita dapat saksikan keindahan alam dengan kehijauan hutan di kiri dan kanan. Saya jadikan JMFR ini juga sebagai ruang untuk keluarga dan kawan-kawan berkumpul”, ujar beliau.

Jarak sejauh 147km yang akan bermula dan berakhir di Teluk Batik, melibatkan stesyen di Pasir Salak, Bota Kiri, Titi Gantung, Seri Manjung (yang melalui Janakuasa Sultan Azlan Shah).

Acara berbasikal JMFR ini juga adalah simbolik kepada usaha TNB bagi mengurangkan pencemaran alam dan mengekalkan alam sekitar.