Terkandasnya Bayern Munich di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara pada awal pagi tadi, bukan sahaja perit untuk diterima peminat-peminat mereka, malah ia menandakan berakhirnya sebuah era dalam kancah Eropah.

Jaguh Bundesliga itu tewas 4-2 kepada Real Madrid, sekaligus tersingkir daripada saingan Eropah dengan agregat 6-3.

Xabi Alonso, 35, dan Philipp Lahm, 34, mengejutkan dunia bola sepak pada bulan lalu sebaik menyatakan hasrat untuk mengundurkan diri daripada bola sepak.

Ia dianggap satu keputusan yang mengejutkan kerana kedua-duanya dianggap masih lagi bertenaga dan mempunyai keinginan tinggi dalam memacu pasukan utama.

Bagaimanapun, keinginan mereka untuk berehat daripada kancah bola sepak buat sementara waktu lebih kuat sehingga sanggup menguburkan impian penyokong bagi melihat mereka terus berbakti.

Alonso cukup elegan mengawal jentera tengah dengan kemampuannya melakukan hantaran jauh dengan tepat. Malah, teknik hantarannya juga menjadi rujukan ramai, merujuk kepada bola hantaran jauh tetapi tidak terlalu tinggi kepada rakan-rakannya.

Lahm pula cukup elegan di mana-mana posisi meskipun lebih sinonim dengan watak di bahagian pertahanan.

Dia mampu mencorak serangan pasukannya dari posisi berkenaan selain pernah menerima pujian daripada Pep Guardiola lantaran keupayaannya mengemudi jentera tengah.

Awal pagi tadi, biarpun kembali ke Santiago Bernabeu sebagai seteru, Alonso dan Carlo Ancelotti diberi tepukan gemuruh oleh penyokong di atas jasa besar mereka ketika berkhidmat untuk gergasi LaLiga itu.

Mereka pernah membantu Real Madrid meraih 'Decima' di Lisbon pada musim 2013/14.

Untuk rekod, Alonso telah beraksi sebanyak 126 perlawanan Liga Juara-Juara dengan menjulang trofi berprestij itu pada 2005 ketika menyarung jersi Liverpool dan 2014.

Lahm pula, muncul dalam 113 perlawanan dan mengecapi nikmat juara pada 2013.

Danke Alonso dan Lahm!