Tingkah laku mengejek lagu kebangsaan mana-mana negara nyata sekali tidak dapat diterima kerana ia dianggap sebagai menghina sesebuah negara.

Dunia dikejutkan sekali lagi dengan insiden itu apabila lagu kebangsaan Belanda diboo oleh penyokong England sebelum sepak mula perlawanan di antara kedua-dua pasukan negara itu di Amsterdam, semalam, tetapi lebih menyedihkan ia hanya berlaku dalam aksi persahabatan.

Tiada atau belum lagi berlaku kesilapan keputusan pengadil, tiada ketegangan kerana ia belum lagi bermula, malah bukanlah perlawanan sebenar, tetapi entah bagaimana penyokong yang dilabelkan FA Inggeris sebagai mabuk ini bersikap demikian.

Itu yang berlaku di dalam Arena Johan Cruyff, selebihnya berlaku pertembungan di antara penyokong England dan polis di luar stadium yang mengakibatkan 100 individu ditahan sepanjang dua hari, seperti mengulangi insiden rusuhan dalam Euro 2016.

Yang lucu, tidak tahu apa yang diproteskannya, ada seorang penyokong terjun ke dalam terusan di bandar itu.



Jurulatih England, Gareth Southgate, sendiri menyuarakan kekecewaannya dengan apa yang berlaku di ibu negara Belanda itu selepas mendengar segelintir penyokong pasukannya melaungkan boo ketika lagu kebangsaan tuan rumah berkumandang. Ia sungguh memalukan.

"Saya mendengar boo terhadap lagu kebangsaan di mana ia tidak dapat diterima," kata Southgate dalam sidang media selepas perlawanan.

"(Mengenai tangkapan) Ia bukan sesuatu yang saya mahu dengar dan pemain kami mewakili negara mereka dengan baik malam ini (semalam) dan sesuatu yang kurang daripada perspektif mereka adalah malu besar," katanya.

Mengulas kejadian itu, pertama bagi penulis, sekiranya insiden itu melibatkan negara-negara ketiga atau miskin dari Asia Tenggara, Amerika Selatan mahupun dari benua Afrika, sudah tentu ia dicemuh sebagai 'tidak bertamadun' atau mentaliti kelas bawahan, malah mungkin boleh dikenakan tindakan keras oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Kedua, tidak kira FA Inggeris menggunakan istilah tingkah laku 'mabuk' merujuk kepada konteksnya secara langsung atau hanya tingkah laku seperti orang mabuk, tetapi hakikat harus diterima bahawa kelompok pemabuk sebenarnya tidak sepatutnya dibenarkan berkeliaran di bandar, apatah lagi tampil sebagai penyokong bola sepak.

Perkara ini bukan terarah kepada tugas FA Inggeris sahaja, sebaliknya FIFA harus mencari inisiatif dan memandang serius bagi menangani golongan pemabuk berkelompok ini, terutama dalam kempen Piala Dunia di Russia nanti.

Badan bola sepak dunia itu perlu berusaha lebih keras menghalang pemabuk memasuki stadium atau bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan menangkap pemabuk berkelompok yang berkeliaran di sekitar bandar sebelum, ketika atau sesudah perlawanan berlangsung.

Mungkin itulah cara terbaik bagi jangka masa pendek untuk mengawal daripada berlakunya rusuhan dalam bola sepak kerana perkara selebihnya terutama sikap sesebuah kelompok penyokong ini mengambil masa yang lama untuk pulih.

Sesungguhnya, mabuk boleh membawa kepada tindakan bodoh seperti ditunjukkan penyokong England sekalipun mungkin minuman memabukkan bukan punca sebenar kerana rusuhan tetap juga berlaku di Malaysia.

Dunia harus mengutuk sekeras-kerasnya tindakan segelintir penyokong tidak beradab ini.

Tidak perlulah nak ulas kemenangan tipis 1-0 mereka.