Sejak Sir Alex Ferguson mengumumkan persaraan dan meninggalkan Manchester United pada 2013, seluruh dunia menyaksikan kejatuhan satu empayar dari bumi England.

Tidak berjaya menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik Liga Perdana Inggeris, terlepas slot ke Liga Juara-Juara Eropah dan bertukar pengurus setiap dua musim hanya membuktikan juara England 20 kali itu melalui kegagalan demi kegagalan.

Begitu juga musim ini, di mana United pernah suatu ketika menduduki tangga ke-14 liga sehingga mula mewujudkan slogan 'Ole Out' untuk menyingkirkan pengendali, Ole Gunnar Solskjaer, serta Ketua Pegawai Eksekutif, Ed Woodward, yang disifatkan sebagai hanya mementingkan perniagaan berbanding pencapaian pasukan.

Namun, Solskjaer tidak mengalah dan sentiasa lantang melaung keyakinan bahawa dia adalah individu tepat untuk mengemudi The Red Devils melalui proses pembentukan semula.

"Saya tidak meragui tentang diri saya. Jika saya memikirkannya, maka seluruh dunia akan turut melakukan perkara sama," ujar pengurus dari Norway itu, memetik laporan The Star pada 30 September lalu.

Kini, segalanya tampak mula menyebelahi Solskjaer.

Bermula dengan kemenangan dalam Liga Europa ke atas Partizan Belgrade sehingga membolehkan United menamatkan badi kemenangan di tempat lawan selama lapan bulan, kejayaan menundukkan Norwich City, juga di laman lawan, minggu lalu juga membolehkan United kini menduduki tangga ketujuh liga.

Terbaru, awal pagi Khamis menyaksikan Marcus Rashford muncul wira untuk memastikan The Red Devils menyingkirkan Chelsea daripada Piala Liga sambil mencuri tumpuan menerusi sepakan percuma yang disamakan dengan tendangan Cristiano Ronaldo pada 2008.

Mungkinkah United yang telah lama menyepi dan melalui zaman gelap telah kembali? Atau ini hanyalah satu lagi harapan palsu yang dirasai setiap peminat The Red Devils setiap musim?