Soal penyingkiran serta pemecatan mana-mana jurulatih memang adalah hak pengurusan kelab dan ia memang lumrah bagi mana-mana pengendali.

Daripada segi luaran kelihatan jurulatih yang bersalah dalam segala hal namun, realitinya ada juga pegawai pasukan yang sepatutnya perlu memikul tanggungjawab kegagalan pasukan.

Dalam isu pemecatan B. Satianathan sebagai pengendali Selangor oleh Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), penulis memuji keberanian bekas jurulatih negara itu kerana enggan direhatkan sebaliknya menuntut pihak pengurusan memecatnya dan membayar baki gaji dua bulan.

Itu adalah pendekatan profesional dan mana-mana jurulatih di dunia yang ditamatkan kontrak awal akan dibayar baki gaji mengikut tempoh kontrak yang ditandatangani. Tidak ada istilah direhatkan.

Dalam isu kemerosotan Selangor, penulis secara peribadi berasa bukan saja Satia yang perlu dipertanggungjawabkan.

Salah Satia ke jika kenyataan media pertamanya sebagai pengendali Selangor pada 2019 disalah tafsir penyokong yang terus melabelnya sombong?

Salah jurulatih itu juga ke ketika dia menerima cacian dan makian berbaur perkauman dari penyokong pasukannya sendiri?

Salah jurulatih juga ke jika sejak dari pertengahan musim, ada pegawai pasukan yang sudah memutuskan khidmat Satia tidak akan dilanjutkan musim depan dan perkara itu diketahui pemain?

Salah jurulatih juga ke jika ada pegawai yang sudah sibuk mencari pemain baru musim depan dan perkara ini diketahui pemain?

Ya, selaku jurulatih sudah pasti Satia sendiri akui dia juga ada melakukan kesilapan. Tetapi banyak juga 'sentuhan ajaib' seorang dua pegawai yang pada pandangan penulis memberi kesan kepada prestasi merudum pasukan.

Ketika barisan kepimpinan FAS diterajui ramai golongan 'otai' dulu, perkara seperti ini biasa berlaku malah ia berlaku ketika Mehmet Durakovic mengendalikan Selangor (2014-2014).

Tetapi penulis sebagai seorang anak jati Selangor akui, cukup kecewa ia masih berlaku di era pucuk pimpinan FAS diterajui Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah meskipun barisan exco persatuan itu ketika ini dibarisi ramai muka baru.

Bagi penulis, pengurusan FAS sepatutnya menggandakan usaha memberi sokongan buat Satia jika dari awal lagi peminat sudah buat tafsiran kurang tepat mengenainya.

Penulis sudah lebih sedekad mengenali Satia dan dalam tempoh berikut ada waktunya juga penulis sebagai pengamal media mempunyai pandangan berbeza dengannya.

Tetapi jika penulis kemudian terbukti benar mengenai sesuatu perkara, Satia akan mengakuinya bahawa dia silap dan penulis betul.

Percayalah jika penulis kata Satia sebenarnya seorang jurulatih yang bagus, amat prihatin dengan pemainnya dan juga sentiasa mengemas kini pemahamannya dalam bola sepak moden walaupun sudah mempunyai Lesen Kejurulatihan Profesional UEFA.

Ya, kadangkala seseorang yang speaks his mind out dan personaliti sedemikian rupa mungkin memberi tanggapan salah kepada sebahagian peminat Selangor terhadapnya.

Tetapi mengapa dia mampu berjaya di Kelantan dulu? Dia masih orang yang sama dan corak mengendalikan pasukan juga sama.

Pada pemerhatian penulis ia adalah kerana pengurusan Kelantan ketika itu memberi sokongan penuh buat Satia sehingga dia amat disayangi peminat Kelantan yang menggelarkannya 'Pak Ya' sehingga hari ini.

Penulis mengucapkan selamat maju jaya buat Satia dan penulis percaya, ketika ini sudah ada beberapa pasukan yang sudah mencanang kemungkinan mengambil khidmatnya musim depan.

Buat FAS penulis berharap pemangku jurulatih, Micheal Feichtenbeiner mampu segera memulihkan moral pemain untuk baki saingan musim ini untuk sekurang-kurangnya menduduki tangga tiga teratas Liga Super.

Mana tahu, mungkin bekas pengendali MPPJ Selangor itu akan mendapat jawatan tetap sebagai ketua jurulatih jika berjaya memberi nafas baru dalam pasukan dan FAS tidak perlu berbelanja besar mendapatkan jurulatih import baru musim depan.