Buat kesekian kalinya, tuah tidak memihak Datuk Lee Chong Wei untuk mencipta kebangkitan di pentas tertinggi dunia.

Baru-baru ini , pengembaraan di Eropah berakhir dengan duka, penyingkiran awal di Denmark dan Perancis.

Perasaan yang asing buat seorang jaguh makin menjadi kebiasaan yang berupaya calar legasinya.

Seperti biasa, terbit suara untuk Chong Wei akur dengan desakan usia lanjut dan menggantung raket.

Tetapi bagi saya ini bukan waktunya untuk Chong Wei mengucapkan selamat tinggal kepada badminton dunia.

Dia ada peluang untuk lakukan demikan, terbaik sudah pasti ketika pasca Olimpik Rio 2016 walaupun gagal memenangi emas.

Ini kerana dunia lebih mengingati pertembungan separuh akhir antara dia dan seterunya Lin Dan.

Bagaimana aksi itu menceritakan kisah dua legenda yang disangka tidak akan sesekali dimamah usia.

Jangan salah faham,Chong Wei boleh bersara bila-bila masa dia mahu kerana dia sudah berhak untuk berehat.

Tetapi jauh di sudut hati setiap rakyat Malaysia,kita tahu akan ada satu lagi kebangkitan menakjubkan daripada Chong Wei.

Jika realiti ini akur dengan imaginasi, DLCW boleh berundur megah selepas merealisasikan impian bergelar Juara Dunia pada musim 2018.

Sehingga waktu seperti itu tiba, perjuangan belum lagi selesai Chong Wei.