The Oranje yang terlepas ke Piala Dunia 2018 semakin hampir mengesahkan tempat ke Euro 2020 selepas menewaskan Belarus 2-1. Dua gol dari Georginio Wijnaldum sudah cukup buat Belanda mencipta kemenangan kelima dalam enam perlawanan dalam Kumpulan C.

Walaubagaimanapun, ketua pasukan, Virgil Van Dijk tidak berpuas hati dengan persembahan pasukannya yang disifatkan kurang fokus pada 90 minit permainan. Van Dijk berkata Belanda bernasib baik hanya dibolosi satu gol dan andai pihak lawan berjaya mendapatkan satu lagi gol, ianya akan menjadi malapetaka buat Belanda.

Kenyataan itu hadir memandangkan selepas ini Belanda akan berdepan Ireland Utara dan andai persembahan sama dipamerkan, agak sukar buat The Oranje untuk meraih kemenangan.

Satu lagi pasukan dalam Kumpulan C, Jerman turut meraih kemenangan disaat hanya bermain dengan 10 pemain selepas Emre Can dibuang padang pada separuh masa pertama. Bintang Manchester City, Ikay Gundongan meledakkan dua gol dan satu lagi gol disumbangkan Timo Werner untuk mereka menumbangkan Estonia 3-0.

Kapten Die Manschaft , Manuel Neuer menyifatkan kemenangan ini amat penting buat Jerman untuk memburu slot ke Euro 2020 dan berharap insiden dibuang padang tidak berulang lagi pada perlawanan akan datang. Neuer sedar akan kesukaran bermain dengan 10 orang dan mereka bernasib baik hanya berdepan Estonia.

Skuad bimbingan Joachim Low kini berkongsi 15 mata dengan Belanda di kumpulan C dan hanya dibezakan dengan jaringan gol. Jerman perlu mengesahkan tempat di Euro 2020 dan mengembalikan prestasi terbaik mereka selepas hambar pada saingan Piala Dunia 2018.