Saya pelik dengan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.

Kenapa selepas menang jawatan, beliau mengumumkan 'peperangan' dengan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail?

Bukankah MPM perlu bekerjasama dengan MSN?

Malah, hampir kesemua atlet paralimpik berlatih, makan dan ada yang menginap di MSN Bukit Jalil.

Mengapa minta Shapawi letak jawatan ekoran kegagalan Malaysia capai sasaran 70 pingat emas dalam Sukan SEA Filipina? Mengapa tidak minta secara menyeluruh?

Sepatutnya, minta sekali Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohd Norza Zakaria, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli, malah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman, berbuat demikian.

Bukankah mereka semua terbabit membuat keputusan mengenai program latihan, pemakanan, sasaran pingat dan dana persatuan sukan kebangsaan?

Jangan pandai menuding jari, lihat diri sendiri.

Megat Shahriman sebagai Presiden Persatuan Kanu Malaysia (Masca). Berapa banyak pingat skuad negara bawa pulang dari Filipina? Satu gangsa pun tiada.

Jadi, saya cadangkan lebih baik belajar bekerjasama.

Kita ada tugas penting tahun ini. Malah, MPM perlukan bantuan MSN untuk sekurang-kurangnya mempertahankan tiga pingat emas Sukan Paralimpik di Tokyo 2020.

Jika kurang daripada tiga emas, adakah beliau juga patut letak jawatan?

Belajar bekerjasama dan menghormati pegawai yang lebih senior. Kita tidak tahu, bila kita akan perlukan bantuan mereka.