Di kala seluruh negara memberikan tumpuan kepada Faiz Subri, penulis mahu mengalihkan sedikit fokus kepada elemen positif yang telah diambil oleh persatuan bola sepak negeri yang mahu untuk terus menghargai peranan dan sumbangan serta suara yang boleh dizahirkan oleh bekas pemain bola sepak yang cemerlang di peringkat kebangsaan mahupun negeri di pentas bola sepak negara.

Kini, bekas pemain sudah berada dalam pasukan tertentu, sama ada ditawarkan selaku jurulatih, penolong jurulatih mahupun terlibat dalam program pembangunan akar umbi.

Sebagai contoh, Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan "The Professor" Nasir Yusoff yang bertindak sebagai pencari bakat dan K. Sukumaran dalam program pembangunan.

Begitu dengan Kedah apabila meletakkan bekas pemain dalam pasukan pembangunan mereka. Kini Victor Audrag, Rafdi Rashid dan juga "Orang Besi" Mohamad Ramli terus diberi kepercayaan untuk mengetuai kilang untuk mengeluarkan pemain pemain muda.

Dalam pasukan senior pula, Hijau Kuning menggandingkan ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe, dengan Nidzam Adzha Yusoff.

Di Kelantan, Zahasmi Ismail dan Hashim Mustapa, Terengganu juga dengan Nafuzi Zain. Selangor dengan P. Maniam dan juga K. Gunalan, Kuala Lumpur dengan Shahril Arsat. Semua ini menggambarkan senario positif. Julius Ating di Sabah bersama Hassan Sani serta banyak lagi yang turut terlibat.

Tetapi, yang turut menjadi tanda tanya ialah bagaimana hendak mengekalkan elemen positif ini agar ia terus kekal lama.Yang dibimbangi, apabila muncul pengurusan baru, lain pula ceritanya.

Suka diingatkan proses pembangunan memerlukan pengorbanan; bukan dengan keputusan yang mahu dinikmati dalam tempoh yang singkat.

Falsafah bola sepak akan sentiasa berubah-ubah.

Penulis juga berpendapat sudah tiba masanya bekas bekas pemain ini juga diberikan ruang yang lebih luas. Sebagai contoh, mungkin setiap zon bola sepak negara sudah mempunyai lima individu yang berada di seluruh negara untuk diletakkan dalam kumpulan yang boleh membantu memberikan pandangan buat Datuk Ong Kim Swee dalam sesi mencari yang terbaik bagi skuad kebangsaan.

Besar harapan penulis jika ia dapat direalisasikan untuk satu tujuan, iaitu kemajuan bola sepak tanpa memikirkan hal hal politk dan lain-lain lagi.

Masanya sudah tiba untuk satu perubahan bola sepak negara. Tiada yang lama, tiadalah yang baru.

Tepuk dada tanya selera.

Nindia.....