MENINJAU ulasan warga maya berhubung kemelut yang melanda pasukan bola sepak kebangsaan yang berkesudahan dengan jurulatih Tan Cheng Hoe meletak jawatan, rata-rata peminat mendesak pembaharuan dari segi pengurusan.

Penulis berpendapat bahawa keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk melakukan bedah siasat menerusi penubuhan Badan Siasatan Bebas yang diketuai oleh Datuk Dell Akbar Khan adalah wajar.

Syaratnya adalah sebarang keputusan atau cadangan penambah baikan yang dikemukakan oleh badan bebas itu mesti diumumkan kepada peminat.

Selain mencari punca kegagalan skuad negara melepasi peringkat kumpulan di Piala AFF Suzuki 2020 tempoh hari, badan itu juga mestilah mengesyorkan cadangan-cadangan yang boleh memperkasakan pasukan kebangsaan.

Cumanya penulis terkilan kerana Cheng Hoe mengumumkan peletakan jawatannya terlalu awal, sebelum bedah siasat ini dilakukan. Sewajarnya, Cheng Hoe kena tunggu hasil bedah siasat untuk memberi gambaran sebenar apa yang berlaku kepada badan bebas itu sebelum menyerahkan nasibnya kepada FAM.

Mengenali Datuk Dell sebagai seorang pegawai keselamatan pasukan dan kemudiannya pengurus pasukan serta Setiausaha Agung FAM, beliau seorang yang tegas. Penulis masih ingat apabila tersenarai ke dalam skuad Olimpik yang bersaing di Kunming, China dan Singapura, Datuk Dell ditugaskan menjadi pegawai keselamatan yang bukan sahaja menjaga keselamatan pasukan negara, bahkan memantau tingkah laku pemain agar tidak terjebak dalam gejala mengatur keputusan perlawanan.

Sebagai bekas pegawai polis berpangkat besar sehingga menjadi Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Dell tentunya memilik kemahiran menyoal siasat bagi mendapatkan kebenaran.

Sebab itu penulis berasakan ada hasil daripada bedah siasat ini, kerana penulis percaya selain mencari punca kegagalan skuad negara di Singapura baru-baru ini, yang lebih penting ialah bagaimana memperbaiki kelemahan sedia ada.

Pengganti Cheng Hoe akan berdepan dengan situasi dan senario yang sama dari segi penjadualan liga, kurangnya tempoh barisan pemain untuk menjalani latihan intensif sebagai persiapan ke kelayakan Piala Asia 2023, serta persepsi bahawa wujudnya tangan ghaib yang menentukan pasukan kebangsaan.

Penulis menaruh sepenuh kepercayaan bahawa Datuk Dell dan individu lain yang menganggotai badan bebas ini mampu untuk merangka senarai syor yang sesuai selepas meneliti kelemahan-kelemahan dari segi sistem dan pengurusan sedia ada.

Ini termasuk penggunaan data dan statistik bagi membantu jurulatih merangka perencanaan taktikal, input sains sukan yang lebih hebat, pengurusan pasukan kebangsaan sepenuh masa selain memastikan pengganti Cheng Hoe nanti diberi sokongan penuh untuk memastikan anak buahnya mencapai tahap optimum.

Selamat bertugas, Datuk Dell!