Ada yang menyifatkan penghijrahan Bastian Schweinsteiger ke Liga Utama Amerika Syarikat adalah pengakhiran yang menyedihkan buat pemain tengah ini di Manchester United. Namun betulkah ia begitu?

Schweinsteiger melangkah ke Old Trafford dengan bergaya walaupun sedang mencapai usia matang seorang atlet, iaitu 30 tahun. Deretan kejayaan bersama kelab kesayangannya sejak remaja, Bayern Munich, sentiasa membayangi kelibat Schweinsteiger kerana disitulah dia diajar bagaimana menjadi seorang pemain bola sepak profesional sehingga mampu membimbing pasukan kelahirannya, Jerman menjuarai Piala Dunia 2014.

Schweinsteiger pada awalnya berbelah bahagi untuk mengembangkan kerjaya dalam bidang bola sepak kerana merasakan minat meluncur ski mampu menyerlahkan namanya. Ternyata dia silap, bola sepak lebih sesuai dengan sikap memberontak yang kemudiannya menjadikan dia seorang yang positif dan berpegang teguh pada prinsip, sehingga meletakkan pemain tengah ini pada kelasnya yang tersendiri.

Tidak seperti anak muda berusia 18 tahun yang lain, Schweinsteiger hanya perlukan 2 sesi latihan untuk diserap ke dalam kesebelasan utama Bayern Munich pada 2002. Benar, 6.5 juta pound membawa Schweinsteiger ke Old Trafford pada 2015 dan dia berjaya melunaskan misi sukar menginjak ke tahun kedua kontraknya selepas membarisi pasukan utama United yang tidak pernah dilakukan mana-mana pemain Jerman sebelum ini.

Permulaan menarik Schweinsteiger di Old Traffod juga menyaksikan dia kembali beraksi dengan nombor 31 walaupun ia seakan-akan tidak bermakna dibawah kuasa Jose Mourinho. Mana tidaknya, Schweinsteiger sekadar beraksi 4 kali musim ini tanpa langsung kelihatan dimana-mana saingan Liga Perdana Inggeris dan ini cukup untuk beri isyarat kepada Schweinsteiger agar angkat kaki dari United.

Penghijrahan yang hampir pasti ke Amerika Syarikat dengan menyatakan persetujuan beraksi bersama Chicago Fire adalah tepat pada masanya. Schweinsteiger ternyata tahu bila mahu berhenti dan tukar laluan. Seperti mana dia mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan kebangsaan Ogos 2016, ketika dirinya masih dilabel wira.

Ternyata jodoh singkat bersama United tidak mengubah persepsi masyarakat dunia tentang kehebatan Schweinsteiger dan sekadar batu loncatan yang menambah variasi dalam kerjayanya dan apa yang pasti, ucapan selamat tinggalnya kepada bola sepak Inggeris juga bukan calang-calang kerana diramal tersenarai antara 10 pemain termahal di Amerika Syarikat.

Jadi, bagi penulis Schweinsteiger ini bijak.