Pengendali kebangsaan, Tan Cheng Hoe tampak memilih barisan seimbang daripada segi pengalaman dan umur menjelang aksi persahabatan antarabangsa berdepan Fiji pada 5 Julai depan.

Cheng Hoe hanya mengekalkan 11 pemain yang beraksi berdepan Lubnan di kelayakan Piala Asia 27 Mac lalu dan aksi persahabatan dengan Bhutan 1 April lalu.

Kali ini, hanya tujuh pemain Johor Darul Takzim (JDT) dipanggil tetapi tiada kelibat bekas kapten kebangsaan, Safiq Rahim yang turut kerap tersisih daripada kesebelasan utama Harimau Selatan kebelakangan ini.

Penulis amat berharap, bek kiri La'Vere Corbin Ong akan beraksi berdepan Fiji selepas dia digugurkan berdepan Lubnan dan Bhutan kerana dikatakan mengalami jangkitan mata ketika itu.

Diharapkan juga tiada lagi penarikan diri beberapa pemain kerana faktor kecederaan atau sebab lain menjelang aksi dengan Fiji.

Seperti yang penulis tekankan sebelum ini, enam aksi yang diatur untuk persediaan ke Piala Suzuki kali ini turut memberi peluang untuk meningkatkan lagi ranking dunia FIFA skuad kebangsaan menjelang 2019.

Aksi berdepan Fiji kali ini tanpa kelibat pemain Pahang, PKNP, Selangor dan PKNS yang terbabit dalam saingan separuh akhir Piala FA.

Justeru aksi kali ini juga adalah peluang terbaik buat beberapa pemain membuktikan kemampuan mereka jika serius mahu beraksi di Piala Suzuki AFF dan ikhlas mahu berjuang meningkatkan ranking negara.

Diharapkan juga, Cheng Hoe akan terus memantau dan menimbang kemungkinan untuk memanggil pemain tengah Perak, Brendan Gan selepas ini yang semakin konsisten dalam sembilan aksi terakhir bersama Bos Gaurus.

Pengalaman bekas pemain Sydney FC itu tampak mampu menambah ramuan skuad ampuh Cheng Hoe.

Seorang lagi pemain yang wajar dipertimbangkan untuk aksi antarabangsa selepas ini ialah bekas pemain tengah Felda United, Curran Singh Ferns yang kini bersama Sukhothai FC di Liga Satu Thailand.

Bekas pemain remaja Melbourne Victory itu sebelum ke Thailand pernah menyatakan dalam temubual bersama Nadi Arena, faktor utama dia berhijrah ke Thailand adalah kerana dia mahu ke Piala Suzuki AFF.

Curran selesa sebagai pemain tengah atau bahagian pertahanan dan pengalaman terkini di saingan elit Thailand adalah faktor mengapa penulis berasa dia wajar diberikan peluang menguatkan barisan Harimau Malaya.

Apa pun, kita mengharapkan rentak konsisten mampu diteruskan skuad negara di bawah kendalian Cheng Hoe berdepan Fiji selepas kemenangan pertama di raih ketika menewaskan Bhutan 7-0 April lalu.