Bukan senang untuk Mat Salleh nak puji seorang atlet kelainan upaya dari Malaysia, negara yang tidak punya tradisi besar dalam arena olahraga dunia.

Namun, ia sama-sekali berbeza buat Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, yang mungkin sudah pun diangkat sebagai juara dalam final 100 meter T36 belum pun dia membuka langkah pertamanya.

Tatkala dia bersiap-sedia di lorong 4 di garis mula final 100 meter di Stadium Olimpik Rio, sanjungan terbesar pengulas Mat Salleh bagi siaran langsung acara berkenaan, lebih tertumpu kepada peserta bernombor “1862” ini berbanding tujuh pencabar lain.

“Inilah dia juara dunia ketika ini,” umum suara pengulas dengan kamera memfokus ketika dia diperkenalkan. “Dia seorang atlet hebat yang gemar menyerlahkan perwatakan sebenarnya – girang, ceria dan mesra.

“Dia adalah ‘Mister Malaysian Tiger’, Mohamad Puzi. Pemenang emas di Doha (Kejohanan Olahraga Dunia IPC pada Okt-Nov 2015) dan emas sekali lagi dalam Kejohanan Asia-Oceania.

“Yang Yifei dari China di lorong 2, perak 100m dalam Kejohanan Asia-Oceania tahun ini, Roman Pavlyk dari Ukraine, bekas juara Paralimpik yang menang emas lompat jauh di London 2012, Che Mian (China), emas 400m dalam Kejohanan Dunia 2002, Graeme Ballard dari Great Britain, antara pelari pilihan yang tidak pernah menang emas, pingat perak 100m di London 2012.

“Seterusnya Gabriel Cuadra Holmann, kelima dalam 800m di Doha, Rodrigo Parreira da Silva, keempat dalam lompat jauh dan peserta harapan tuan rumah, dan Xu Ran dari Beijing, perak dalam lompat jauh di Christchurch pada 2011…

“Inilah barisan pelari bagi 100m akhir T36, dan betapa Mohamad Puzi adalah seorang juara dunia yang popular di Doha.

“Ramai rakan-rakan sepasukannya sudah berhimpun berhampiran garisan penamat, dan mereka mula berada di sana kira-kira 20 minit yang lalu,” kata pengulas itu.

Permulaan, bagaimanapun, terpaksa dilakukan sekali lagi sesudah Pavlyk – dikatakan pesaing utama Mohamad Ridzuan dalam final ini – dibatalkan penyertaan kerana berlepas mendahului tembakan pistol.

“Saya fikir itu adalah Pavlyk di lorong 3, seorang perserta sangat berpengalaman. Dia sudah menang dalam kerjayanya sembilan pingat emas global. Dia harus mendapat kad merah untuk itu berpandukan peraturan IAAF yang sangat ketat.”

“Dan kini mereka sudah bermula, tumpukan kepada Mohamad Puzi yang membuat permulaan baik, begitu juga Parreira. Persaingan sengit di antara Mohamad Puzi dan Yang (Yifei) menuju ke garisan penamat, ia pertarungan hebat antara kedua-duanya.

“Ia jelas kini Mohamad Puzi adalah juara Paralimpik, Yang dengan perak dan Rodrigo Parreira da Silva dari Brazil gangsa. Buat Mohamad Puzi, juara dunia, dia kini adalah juara Paralimpik juga.

“Dia sudah melakukan rekod Sukan Paralimpik, 12.07 saat.

“Di sana, ada penyokong Malaysia. Itu adalah bendera Malaysia dan dia akan menjadi pemenang yang sangat popular.”

Satu suara pengulas berbeza mengambil alih: “Dia benar-benar mahu melakukan ini untuk negaranya, (dan) dia tahu di mana bendera Malaysia dan di mana berada penyokong-penyokongnya dan dia meluru ke sana.

“12.07 saat adalah rekod baru Paralimpik buat Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi. Ini adalah pingat pertama Malaysia di temasya ini, dan ia adalah emas!

Ulasan ketika ulang tayang perlumbaan: “Dia berlepas dengan sangat baik, begitu juga Yang Yifei di sebelah kirinya. Dan dia masih perlu meningkatkan larian dan itulah yang dilakukannya dengan jarak berbaki 20 meter lagi untuk melintasi garisan penamat dengan masa yang hebat.

“Serta-merta dia beralih kepada penyokongnya berdekatan garis penamat, di bawah tempat duduk kami.

“Apakah maknanya ini kepadanya dan negaranya? Ia amat bermakna sekali.”

Suara pengulas pertama tadi kembali ke udara: “Seorang yang sangat popular memberikan penghargaan kepada penyokongnya di tempat duduk penonton,” sambil Ridzuan berlari mendapatkan Jalur Gemilang.

“Dia seorang yang sangat popular di Doha, tidak dapat hendak digambarkan secukupnya. Tunggu sajalah apabila dia menaiki podium sebentar saja lagi.”

Layar gergasi di stadium memaparkan keputusan rasmi: 1. Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi MAS 12.07 (PR); 2. Yang Yifei CHN 12.20; 3. Rodrigo Parreira da Silva BRA 12.54; 4. Che Mian CHN 12.72; 5. Graeme Ballard GBR 12.84; 6. Gabriel de Jesus Cuadra Holmann NCA 12.91; 7. Xu Ran CHN 12.96; 8. Roman Pavlyk UKR DQ.

“Masa agak pantas yang dicatatkan oleh empat peserta teratas,” kata pengulas sebagai penutup bicara.

Nama Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi tidak akan asing lagi selepas ini sambil sanjungan tertinggi selayaknya menjadi milik insan “Kami Luar Biasa” ini.