Semakin dia dilupakan, semakin dia kembali mengingatkan. Harus diakui sukar sekali untuk Mario Balotelli diketepikan begitu saja, tidak kiralah apa saja kerenah yang ditimbulkannya pada masa lampau.

Terbaru, penyerang panas baran itu dipanggil menyertai skuad kebangsaan Itali lebih dari tiga tahun selepas panggilan terakhir buatnya menyarung jersi barisan Azzurri.

Balotelli dan pengurus Itali, Roberto Mancini – sejak menjuarai Liga Perdana Inggeris musim 2012 --seakan-akan sudah tertulis tidak akan berpisah lama.


Menjelang satu kem latihan khas sebagai persiapan menghadapi playoff kelayakan Piala Dunia menentang Macedonia Utara, Mac ini, Mancini menawarkan Super Mario satu lagi talian hayat – entah yang ke berapa – dalam senarai 35 pelatih untuk dinilai keupayaan mereka dalam tempoh tiga hari.

Ia mengembalikan ingatan terhadap betapa lamanya Balotelli – penjaring 14 gol dalam 36 perlawanan bersama Itali – terkeluar sejak kali terakhir beraksi dalam perlawanan berkesudahan 1-1 dengan Poland dalam Liga Negara-Negara UEFA pada September 2018.

Sejak itu, seperti disorot laman espn.com, penyerang berusia 31 tahun itu sudah banyak melakukan apa saja di antara keajaiban dan kemusnahan sehinggalah prestasi terbarunya bersama kelab Turki, Adana Demirspor (ADS), mendatangkannya perubahan nasib.

Asalkan ia berkait dengan Balotelli, harus tiada apa yang mengejutkan.

Menyertai kelab Ligue 1, Nice, pada 2016, dia menyumbat 43 gol daripada 76 penampilan buat kelab berpangkalan di French Riviera itu dengan prestasi yang menyerupai kecemerlangan lampaunya.

Namun, semuanya beransur berubah pada permulaan musim ketiganya bersama Nice apabila dia melaporkan diri lewat dua minggu untuk latihan pramusim – cukup untuk membuat keyakinan pengurus, Patrick Vieira, terhakis terhadapnya.

Penampilan Balotelli terhad kepada 10 perlawanan untuk separuh pertama kempen musim 2018-19 itu tanpa menyumbang sebarang jaringan.

Terlepas lima lagi perlawanan selepas itu, ia membawa kepada penamatan kontraknya di Nice untuk Balotelli menyertai Marseille pula sehingga akhir musim.

Di sanalah, prestasinya kembali memuncak dengan lapan gol dalam 15 perlawanan. Pun begitu, Marseille melepaskannya pada Julai 2019 selepas kegagalan layak ke Liga Juara-Juara.

Kembara Balotelli berlanjutan kembali ke Itali dengan menyertai Brescia pada Ogos 2019. Dia menyumbat lima gol daripada 19 perlawanan tapi tetap gagal membantu kelabnya itu diturunkan ke Serie B pada penghujung musim 2019-20.

Ini membawa kepada perpindahannya ke sebuah lagi kelab Serie B, Monza, namun siri kecederaan menyaksikan dia dilepaskan pada musim panas berkenaan.

Sedikit tuah membawanya menyertai kelab yang baru dinaikkan ke Super Lig Turki, ADS, pada Julai tahun lalu dengan kontrak tiga tahun.

Adakah apa-apa yang mengejutkan apabila Balotelli membalas kepercayaan kelab barunya itu dengan sumbangan sembilan gol daripada 21 perlawanan, termasuk ketika seri 3-3 dengan juara Super Lig, Besiktas.

ADS ketika ini selesa di tangga keempat, cuma satu mata di belakang Alanyaspor di tangga kedua.

Dia meraikan pemanggilannya ke skuad kebangsaan Itali dengan memuat naik di Instagram imej dia meraikan gol dalam kemenangan separuh akhir Euro 2012 ke atas Jerman – menanggalkan baju sambil memperagakan otot-ototnya.



Di sebalik liku-liku perjalanan sukarnya, jelaslah Balotelli belum banyak berubah dan harus tidak akan mengejutkan sesiapa andai kepulangannya ke skuad Azzurri kali ini mencetuskan keajaiban sekali lagi.