Pasukan gergasi Sepanyol Real Madrid dilaporkan tidak berminat lagi untuk menyimpan Gareth Bale dan bersedia untuk menjual pemain antarabangsa Wales itu kepada pasukan lain. Bagaimanapun Real masih lagi menganggap Bale seorang pemain yang berharga dan pasukan yang berminat perlu dana yang besar untuk mendapatkan khidmatnya.

Menurut beberapa berita antarabangsa, Real telah meletakkan harga sekitar 131 juta pound untuk pemain berusia 29 tahun itu sementara presiden Florentino Perez yakin akan ada pasukan lain mampu membelinya. Sebelum ini Real mendapatkan khidmat Bale dari Tottenham Hotspur pada tahun 2013 dengan nilai 86juta pound. Ia merupakan perpindahan pemain termahal dunia ketika itu.

Ketika ini Manchester United dan Chelsea dikhabarkan berminat untuk mendapatkan Bale. Bagaimanapun Real lebih cenderung untuk menjual Bale ke Chelsea memandangkan mereka mempunyai agenda bersama untuk membawa Eden Hazard ke Santiago Bernabeu. Namun menurut agen pemain itu hakikatnya, Bale lebih berminat mencuba nasib di Old Trafford bersama Manchester United berbanding Chelsea.

Perancangan Real Madrid untuk menjual Bale sebenarnya sudah agak lama namun tuntutan harga oleh Real adalah melebihi nilai pasaran ketika itu telah menidakkan perpindahannya ke pasukan lain.

Bale juga ada menyatakan hasrat untuk terus kekal bersama Real walaupun sangat kecewa dengan kekurangan masa permainan. Setakat ini Bale hanya berjaya membuat 145 penampilan dan menyumbangkan 76 gol sepanjang kariernya di Real Madrid.