Ketika Gareth Bale menyertai Real Madrid pada 2013 dengan rekod perpindahan dunia sebanyak GBP86 juta (RM455 juta), harapan diletakkan kepadanya sangat tinggi.

Pemain kebangsaan Wales itu meledak 21 gol dalam 33 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebagai pemain sayap bagi musim 2012/13 untuk Spurs dan dianggap sebagai salah seorang pemain terbaik dunia.

Selepas menjaringkan gol ke-100 buat Real Madrid dan memenangi empat gelaran Liga Juara-Juara (UCL) untuk Los Blancos, apa yang boleh dirumuskan adalah Bale telah melakar kejayaan buat dirinya.

Bagaimanapun, ia kelihatan sebaliknya.

Bale tidak pernah menyesuaikan diri dengan gaya hidup di Sepanyol.

Sering dibelenggu kecederaan, hilang taruh daripada penyokong, enggan mempelajari bahasa Sepanyol serta tidak mesra dengan rakan sepasukan, semuanya menjadi ramuan yang mencemarkan karier Bale di Real.

Penjaga gol, Thibaut Courtois, telah mendakwa kegagalan Bale menyesuaikan diri di bumi Sepanyol selepas dia enggan menghadiri makan malam bersama rakan sepasukan yang lain.

Marcelo turut mengkritik Bale kerana tidak mahu mengambil inisiatif untuk mempelajari bahasa Sepanyol dan mereka sering berkomunikasi dengan menggunakan "bahasa badan".

Masalah-masalah ini berlaku tidak kelihatan menerusi lensa kamera dan dianggap tidak begitu penting sebagaimana aksinya di atas padang.

Sebagai pemain, Bale masih lagi relevan dan dianggap sebagai satu fenomena-- dia memiliki kebolehan yang unik dan masih lagi memperbaiki kualiti permainannya walaupun sering dihantui masalah kecederaan.

Sukar untuk mempercayai Bale sudah berada di Sepanyol selama enam tahun, kejayaan demi kejayaan yang diraih tetapi masih lagi tersembunyi di bawah radar dan ia menjadi punca pemain berusia 29 tahun itu tidak didendang.

Bale mula memikat mata dunia ketika musim 2010-11 ketika Tottenham bertemu Inter Milan dalam UCL. Inter memenangi kejohanan tersebut dalam musim terdahulu di bawah kendalian Jose Mourinho dengan skuad yang dibarisi legenda seperti Javier Zanetti, Diego Milito dan Wesley Sneijder.

Inter turut diperkuat dengan Maicon, pemain pertahanan kanan yang diangkat sebagai terbaik dunia dalam musim tersebut.

Tidak gugup menghadapi penyandang juara, Bale yang baru berusia 21 tahun menggunakan kedua-dua perlawanan berdepan Inter untuk mempamerkan kebolehannya.

Kelajuan serta kekuatannya dibuktikan menerusi kedua-dua perlawanan, termasuk sentuhan penyudah dan hantaran silangnya. Bale meledak hatrik dalam aksi pertama sebelum melakukan hatrik bantuan jaringan dalam aksi timbal balik -- membuktikan dia adalah seorang pemain yang istimewa.

Selepas perlawanan, Maicon berkata, "Bale bagaikan satu fenomena. Dia bermain dengan cemerlang dan seorang juara yang berkualiti. Kami perlu memuji dia kerana sukar untuk mengawalnya."

Bale meraih perpindahan impian tiga tahun kemudian, namun segalanya tidak seperti apa yang diimpikan.

Sepanjang menyarung jersi Real, Bale sering dipandang serong oleh penyokong Real yang tidak asing untuk mengkritik pemain-pemain tanpa sebab.

Pemain-pemain kelahiran Sepanyol seperti Isco, Lucas Vazquez dan Marco Asensio bebas daripada tempelak penyokong.

Beraksi di sebalik bayang-bayang Cristiano Ronaldo menjadikan pentas buat Bale semakin rendah.

Dalam enam tahun bersama kelab, Bale dihimpit kecederaan sebanyak 20 kali, menyukarkan peluang untuk dirinya berada dalam kesebelasan utama.

Bagaimanapun, Bale yang telah menjaringkan gol ke-100 mencetus persoalan -- adakah dia benar-benar bagus atau sekadar bertuah?

Tidak harus dilupakan, Bale menghadirkan saat-saat magis buat gergasi Eropah itu dalam perlawanan penting . Jaringan solonya ketika menewaskan Barcelona dalam Piala Raja Sepanyol atau sepakan gunting ketika menewaskan Liverpool dalam aksi final UCL musim lalu – di sebalik beraksi dalam tempoh 30 minit, namun diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan.

Mungkin benar dia menghadapi kesukaran di Sepanyol tetapi penyokong Real perlu mula menghargai jasa pemain itu selagi masih kekal bersama pasukan.

Apa-apa sekalipun buat Bale selepas ini, perpindahan menjadi salah satu kemungkinan yang bakal berlaku dengan Eden Hazard acap kali meluahkan minat untuk menyertai Real.

Masa semakin suntuk buat Bale tetapi khidmatnya sebagai pemain Galactico tidak seharusnya dilupakan.