Andai Gareth Bale kembali bersama Tottenham Hotspurs, adakah ianya bawa tuah atau bala buat pasukan kendalian Jose Mourinho?

Umum pasti tahu situasi Gareth Bale di Santiago Bernabeu yang ibarat 'hidup segan, mati tak mahu'. Hubungan dinginnya bersama pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane juga menyaksikan beliau disisihkan dari kesebelasan utama dalam setiap perlawanan. Dengan pihak Real Madrid sendiri bersetuju mahu membayar 50% gaji kepada pasukan yang mahukan khidmat Bale, itu merupakan satu isyarat jelas bahawa kehadiran Bale memang tidak dialu-alukan di kem Los Blancos.

Jadi, dimanakah destinasi terbaru Gareth Bale?

Ada yang mengatakan beliau akan ke Liga Super China, namun Bale turut menarik perhatian beberapa kelab ternama eropah seperti Tottenham Hotspur.

Andai Bale kembali ke Spurs, ini akan memberikan lebih pilihan kepada Jose Mourinho di bahagian serangan disebalik hanya bergantung kepada Harry Kane dan Son Heung Min. Mourinho hanya membawa pemain-pemain 'average' seperti Matt Doherty dan Pierre Hojbjerg tanpa ada pemain baru di bahagian serangan. Jadi kehadiran Bale memang akan membantu Spurs jika dia mampu beraksi cemerlang.

Keupayaan Bale juga tidak boleh dipertikaikan dengan beliau masih lagi antara salah seorang pemain sayap terbaik di dunia. Dengan pengalaman yang dimiliki, tiada keraguan Bale akan segera menyesuaikan diri dengan corak permainan Liga Perdana Inggeris.

Namun ada beberapa perkara yang harus diperhalusi andai benar-benar mahu membawa semula Gareth Bale menyarung jersi Spurs.

Harus diingat, Bale yang kini bukanlah yang sekarang, kerana sudah berusia 31 tahun. jadi kepantasannya memang tidak akan sama seperti dahulu. Pengalaman memang berbeza, tetapi tidak boleh dinafikan bahawa kudratnya tidak sama seperti dulu.

Malah, Bale juga merupakan seorang pemain yang amat mudah mengalami kecederaan berulang. Dengan aksi keras dan permainan fizikal di Liga England, ada kemungkinan besar Bale akan duduk di bangku simpanan akibat kecederan dengan gaji yang dibayar seperti biasa.

Spurs pula bukanlah pasukan dengan kemampuan kewangan yang besar seperti kelab utama eropah lain, jadi andai mahu melabur, melaburlah dengan bijak andai tidak mahu menyesal di kemudian hari, kerana penulis khuatir, sama ada kemasukan Bale akan membawa tuah atau bala kepada The Lilywhites.