Sebagai seorang pengamal media yang bergiat secara rapat dalam arena sukan negara, tiada berita yang lebih menggembirakan daripada pengiktirafan oleh kerajaan menerusi peningkatan peruntukan tahunan buat sukan.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dibawah kepimpinan YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak perlu lagi pening kepala kerana boleh dikatakan segala perancangan utama mereka mendapat tempat pada bajet 2020 yang diumumkan pada Jumaat.

Peningkatan sebanyak RM1.2 billion peruntukan berbanding bajet 2019 juga secara jelas menyebut keseimbangan yang akan terus dijana KBS menerusi peranannya memacu golongan belia dan sukan negara.

Ketika angka menjadi perhatian dalam pembentangan bajet, hasrat kerajaan dalam memberi tumpuan kepada pemulihan prasarana sukan sedia ada berbanding pembinaan baharu kompleks sukan yang gah atau berteknologi tinggi dilihat lebih relevan dan berjaya menarik perhatian ramai, menerusi peruntukan RM299 juta.

Minat rakyat Malaysia dalam bola sepak terus diberi perhatian, tidak kira berapa kali jatuh bangunnya sukan no.1 negara ini dan langkah sangat bijak apabila peruntukan spesifik diletakkan kepada pembangunan akar umbi menerusi peningkatan 200% dari RM15 juta kepada RM45 juta, dimana ia dijangka menghasilkan lebih ramai pemain handalan yang masih muda seperti nama-nama yang sedang meniti di bibir peminat Harimau Malaya ketika ini.

Selain bola sepak, sukan lain yang diketahui umum melibatkan perbelanjaan besar adalah seperti sukan polo dimana kesejahteraan kuda yang turut bertanding memainkan peranan penting dan ia sama pentingnya dengan gajet berteknologi tinggi yang digunakan dalam e-sukan - maka penambahan RM10 juta menjadi RM20 juta untuk anak muda mengembangkan bakat dalam persediaan Revolusi Industri 4.0 pada 2020 nanti bolehlah diterima sebagai antara proses bertatihnya sukan yang berpotensi besar ini.

Bagaimanapun, istilah bertatih mungkin tidak boleh diterima pakai lagi sebagaimana keistimewaan dan sokongan yang sedang dinikmati e-sukan ketika ini turut diiimpikan dan dicemburui sukan-sukan baharu lain sehingga ada yang bertindak mahu memohon sedekah atau bantuan orang ramai untuk menanggung kos ke Sukan SEA Filipina.

Sama ada sedang menikmati kelebihan atau berasa tertekan, pemain-pemain e-sukan negara diharapkan jelas dengan situasi semasa dimana mereka perlu mengembalikan segala pelaburan dalam kadar segera, dan langkah paling hampir adalah membeli hati rakyat Malaysia dengan mengharumkan nama negara pada penyertaan kali pertama di temasya dwi tahunan yang mengumpulkan negara-negara Asia Tenggara pada hujung November nanti - pentas sama skuad bola sepak B23 tahun diletakkan tugasan membawa pulang ibu segala pingat seperti biasa.