Kalau ikutkan cakap-cakap belakang, memang bermacam yang keluar dari mulut netizen berkenaan prestasi skuad Harimau Malaya.

Ada yang suruh letak jawatan, ada yang kata pergi Hong Kong makan angin, ada yang kata nasib baik kalah, boleh jimat duit, ada yang kecam Safiq Rahim dan bermacam lagi.

Penulis sejujurnya tidak tahu dari mana nak bermula. Sejak perlantikan Nelo Vingada selaku ketua jurulatih Malaysia, dia masih belum berjaya menzahirkan kemenangan dalam lima perlawanan dibawah kendaliannya.

Biarpun berbagai alasan diberikan seperti masalah kecederaan, masalah peribadi pemain ataupun kurangnya latihan bersama skuad kebangsaan, hakikatnya bukan itu yang dimahukan peminat. Segala masalah yang timbul sewaktu persiapan pasukan seharusnya ditangani dan diatasi sebelum wisel perlawanan ditiupkan.

Selaku individu yang cukup berpengalaman, Vingada seharusnya peka akan budaya bola sepak di Malaysia. Apa guna bertandang ke tempat lawan dan bermain formasi 4-6-0 sedangkan kita perlu mencari gol untuk kemenangan. Jangan sesekali sama kan Malaysia dengan Sepanyol untuk bermain formasi 4-6-0 kerana dari segi teknikal pemain sahaja sudah jauh berbeza.

Darren Lok dimasukkan di separuh masa kedua, namun kita masih langsung tiada percubaan berbahaya melainkan sepakan percuma Wan Zack di minit-minit akhir permainan. Kad merah Safiq Rahim pula, penulis tidak mahu ambil pusing kerana itu adalah satu tindakan kurang bijak dari seorang ketua pasukan yang tahu betapa pentingnya keputusan dalam pertemuan bertemu Hong Kong. Nazirul Naim dan Khairul Helmi pula ibarat "budak sekolah" yang senang dipermainkan, ditambah pula sering mengeluarkan bola dengan cara berbahaya.

Penulis yang menonton penuh perlawanan Hong Kong berdepan Malaysia kecewa dengan persembahan skuad Harimau Malaya, namun lebih kecewa memikirkan bagaimana kita mahu bermula semula. Dari mana nak mula? Adakah daripada saingan liga? Adakah daripada persatuan bola sepak, atau mungkin menerusi pembangunan akar umbi?

Mungkin tiada apa yang dilakukan sampai bila-bila.