Berpandukan tradisi sebelum merdeka, setiap era melahirkan jaguh pecut.

Pada 1950-an Sidique Ali Marican dan Shahrudin Mohd Ali menjadi peneraju.

Menyusul pada 1960-an Mani Jegathesan, G. Rajalingam dan Tamboo Krishnan.

Pada dekad 1970-an pula, Rabuan Pit, Ramli Ahmad dan Ellron Alfred Angin membawa cabaran negara di pentas antarabangsa.
Era 1980-an sedikit suram tetapi 100m diwarnai penyertaan Abdul Rahman Koyakutty, Sad Arshad dan Sugang Tumiran.

Sebagaimana perseteruan Jegathesan dengan Rajalingam diikuti dengan penuh minat, 1990-an menyaksikan Azmi Ibrahim dan Watson Nyambek saling cabar-mencabar memecah rekod.

Pada 2000-an Nazmizan Muhammad mencipta sejarah, menjadi pelari ketiga negara yang mencatat kejuaraan berganda – 100m dan 200m di Sukan SEA di Hanoi pada 2003 – mengikut jejak langkah Jegathesan (1965) dan Rajalingam (1967).

Sekalipun menjuarai Sukan Asia 1982 di New Delhi, Rabuan tidak pernah menguasai acara 100m di peringkat Sukan SEA, sebaliknya merangkul emas dalam 400m di Jakarta pada 1979.

Begitu juga Watson yang meraih perak Kejohanan Olahraga Asia di Fukuoka pada 1998, tetapi sekadar mendapat gangsa di Sukan SEA Jakarta 1997.

Nazmizan pula adalah pakar pecut terakhir mewakili negara di temasya Olimpik, apabila berlari di sisi Asafa Powell pada saringan kelima pusingan pertama 200m pada 24 Ogos di Athens 2004.

Petanda awal potensi Badrul Hisyam tergambar apabila dia memenangi empat emas pada Kejohanan Olahraga Asean di Manila pada 2014.

Dibimbing oleh jurulatih yang berpangkalan di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Bandar Penawar, Mohammad Poad Md Kassim, Badrul Hisyam yang berasal dari Kampung Batu Gajah di Merlimau, Melaka, berdepan cabaran besar.

Sebagai pemegang rekod kebangsaan paling muda dalam kelompok atlet elit, Badrul Hisyam, pelajar pra-universiti di SSTMI, dianggap berpotensi meraih pingat di Sukan SEA 2017 dan seterusnya mara ke akhir Sukan Asia dan setidak-tidaknya separuh akhir Sukan Olimpik 2020.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat dalam 100m lelaki menerusi Mohd Noor Imran Abdul Hadi yang mengutip gangsa di Sukan SEA Korat 2007.

Dengan dibimbing oleh jurulatih tempatan, Badrul membuktikan sentuhan dan gandingan anak tempatan boleh melakar kejayaan. Kebetulan Poad lahir di Jasin, Melaka tetapi dibesarkan di Johor.

Rekod 10.29 saat dalam laluan menjuarai 100m Kejohanan Sekolah-sekolah Asean di Brunei harus menjadi petanda awal bahawa pengembaraan Badrul masih jauh.

Merlimau tanah kelahiran Rabuan, selain penghibur Ziana Zain dan beberapa pemimpin negeri serta tokoh terkemuka dalam bidang masing-masing.

Nama Badrul harus seharum itu kelak.