Pengendali Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, bakal berdepan cabaran sukar bagi mendapatkan pemain yang menjadi sasarannya untuk memperkuatkan pasukan bagi mengharungi saingan musim depan.

Beberapa pemain sasaran Solksjaer yang diberikan tawaran kepada kelab mereka, berdepan masalah bidaan ditolak oleh kelab, pemain sendiri yang menolak atau bidaan dipintas oleh pasukan gergasi lain.

Sebagai contoh, United telah memberikan dua tawaran rasmi kepada Crystal Palace untuk mendapatkan pemain pertahanan, Aaron Wan Bissaka, namun kedua-duanya ditolak oleh Crystal Palace yang mahukan harga 60 juta pound.

Pemain bintang Sporting Lisbon, Bruno Fernandes, turut menjadi sasaran The Red Devils, namun khabar terbaru media antarabangsa menyatakan bahawa Liverpool telah pun mengemukakan tawaran rasmi dan United dilihat sedikit terlewat dan mungkin terlepas peluang andai lambat melakukan tindakan susulan.

Di saat United melepaskan beberapa pemain seperti Antonio Valencia dan Anders Herrera selain khabar angin penghijrahan beberapa pemain seperti Paul Pogba, Marcus Rashford, David De Gea dan Romelo Lukaku, United masih belum menandatangani pemain selain pemain sayap dari Swansea City, Daniel James.

Penulis percaya kesukaran United untuk mendapatkan pemain adalah berdasarkan faktor kegagalan beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah dan dalam masa sama, United yang memegang status kelab terkaya di dunia bakal berdepan “harga tidak masuk akal” oleh pasukan kelab lain jika mereka mahu membeli pemain.

Dengan saingan musim depan masih berbaki sebulan lebih sebelum membuka tirai, United perlu memastikan pemain tonggak utama mereka dapat dikekalkan selain menambah beberapa muka baru andai mahu memberikan cabaran kepada pasukan seperti Manchester City, Liverpool, Chelsea, Tottenham Hotspur dan Arsenal.