Segala-galanya lebih jelas kini.

Selepas redanya segala emosi dan keriuhan di sebalik kegembiraan meraikan kejayaan pingat perak sumbangan Datuk Mohd Azizulhasni Awang dalam acara keirin Sukan Olimpik Tokyo, kelmarin, kini masanya untuk melihat realiti tanpa pengaruh sentimen dan rasa simpati.

Teratas haruslah hakikat bahawa Malaysia gagal menepati sasaran tiga pingat – difahami sebagai satu emas, satu perak dan satu gangsa – yang disasarkan daripada tiga sukan -- badminton, terjun dan berbasikal -- tanpa mengikut susunan berkenaan.

Apa pun kelegaan daripada pingat perak pada hari terakhir itu yang ditambah perisanya oleh semangat rakan sepasukan, Shah Firdaus Sahrom, untuk bangkit berlumba selepas terjatuh dan tercedera sebelum terpaksa mengalah di peringkat suku akhir, ia sebenarnya tidak “menyelamatkan” kontinjen Malaysia seperti dikatakan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Hakikatnya, Malaysia tetap gagal mencapai sasaran tiga pingatnya sambil Azizulhasni, yang terang-terang disandarkan harapan emas dari awal lagi, turut gagal melunaskan harapan berkenaan untuk kesudahannya terpaksa berpuas hati dengan pingat perak itu.

Dalam pada itu, kesungguhan, azam dan semangat yang dimiliki anak kelahiran Dungun, Terengganu ini tetap terpuji tapi cuma sejarah kemudian akan menghakiminya sebagai terlepas pingat emas di sebalik apa pun keadaan, tipu-daya dan kejaguhan yang disaksikan ketika perlumbaan berkenaan.

Netizen pula dilaporkan menyerang Matthew Glaetzer menerusi akaun media sosialnya sebagai menyalahkan pelumba Australia itu kononnya menjadi punca yang menggagalkan Azizulhasni daripada menggapai impian emasnya.

Pelumba Great Britain, Jason Kenny, membuka jarak pendahuluan sejurus basikal ‘derny’ meninggalkan trek ketika perlumbaan berbaki tiga pusingan, dengan Glaetzer di kedudukan kedua dilihat beberapa kali menoleh ke arah deretan empat pelumba di belakangnya, termasuk Azizulhasni di kedudukan kelima mengikut undian.

Kenny seterusnya memanfaatkan kelebihan jarak pendahuluannya untuk memecut sekuat tenaganya untuk sampai dahulu ke garis penamat bagi mengesahkan emas miliknya, 0.763 saat mengatasi pemenang tempat kedua.

Gelagat Glaetzer yang lengah untuk menghambat sambil pada masa yang sama menyekat pelumba-pelumba di belakangnya itulah yang diumpamakan netizen sebagai membantu Kenny, seolah-olah dia rakan sepasukan kepada pelumba Team GB itu.

Cuma, jika dibandingkan dengan pelumba Trinidad & Tobago, Nicholas Paul, yang dibatalkan dalam Separuh Akhir 2 terdahulu kerana memintas di luar garisan biru, Glaetzer tidak pun dipersalahkan oleh komisar atau ada melakukan apa-apa kesalahan.

Pada penghujungnya, Glaetzer sekadar menduduki tempat kelima dan tanpa sebarang pingat selepas tiga kempen Olimpik, dengan perlumbaan terdahulunya dalam acara pecut berpasukan pada Selasa berkesudahan di tempat keempat.

“Ada kalanya keadaan perlu memihak anda dan malang sekali buat saya, ia tidak demikian daripada segi perolehan pingat,” katanya seperti dilaporkan Yahoo Sport Australia, yang turut menyatakan Glaetzer disahkan menghidap kanser tiroid dua tahun lalu.

“Saya memiliki perspektif yang lebih besar. Saya berasa bertuah untuk berlumba mewakili Australia,” tambahnya sebagai jawapan kepada segala kata nista yang dihamburkan netizen Malaysia.

Lebih daripada segala-galanya, perlumbaan final keirin itu berkisar kepada taktik Kenny yang mengejutkan ramai – tidak terkecuali dua pelumba legenda Team GB, Sir Chris Hoy dan Sir Bradley Wiggins.




Ia bukan pun sesuatu secara spontan dan tidak juga mendapat sebarang isyarat daripada Glaetzer yang didakwa berkonspirasi, sebaliknya ia dibincangkannya dengan pasukan kejurulatihan sebelum perlumbaan.

“Saya nyatakan sebelum perlumbaan (termasuk kepada pengarah prestasi, Stephen Park) bahawa jika pelumba selebihnya ‘tertidur’, bolehkah saya buat pemecahan? Mereka kata boleh hanya jika ada peluang besar.

“Apabila detiknya tiba dan (Glaetzer) meninggalkan jurang yang besar, saya melihat keadaan dan terfikir: ‘Ia satu kesempatan yang besar untuk saya cuba melakukannya… dan saya sebenarnya melakukan perjudian yang besar.

“Memasuki final itu, saya tidak berasakan yang saya salah seorang pelumba pilihan. Pada detik itu, anda perlu bersedia untuk memanfaatkan peluang, dan satu kesempatan besar telah didatangkan,” kata Kenny seperti dipetik akhbar The Guardian.

Rakan sepasukan, Jack Carlin, yang gagal layak ke final dan berkesudahan di tempat kelapan, dilaporkan turut terlopong menyaksikan dari pit velodrom bagaimana Kenny mengejutkan barisan pencabarnya.

“Kita tidak pernah melihat ini dalam final keirin di Sukan Olimpik,” cetus pengulas Channel 7 Australia, Scott McGrory, yang menambah: “Ia sangat memeranjatkan daripada segi taktik, malah ia keterlaluan.”




Emasnya itu mengangkat Kenny sebagai Olimpian Great Britain yang paling berjaya dengan keseluruhan tujuh emas – satu mengatasi pakar keirin, Hoy. Dicampur dua lagi pingat peraknya, dia turut mengatasi rekod Wiggins yang menghimpun lapan pingat.

Barangkali Azizulhasni boleh berasa sedap hati yang Kenny melakukan perjudian besarnya itu kerana menyedari ancaman besar daripada pelumba Malaysia itu.

Apa pun, The Pocket Rocketman tetap seorang juara di mata rakyat Malaysia di sebalik pingat emasnya yang tertangguh dek kelicikan seorang jaguh yang sebenarnya “bukan biasa-biasa”, malah lebih hebat daripada Sir Hoy yang dikagumi dan menjadi idolanya.