Selepas beberapa siri perbincangan di antara Crystal Palace dan Manchester United, Aaron Wan-Bissaka, ia akhirnya melengkapkan perpindahannya ke Old Trafford dengan yuran GBP50 juta (RM255 juta).

Pemain berusia 21 tahun itu menikmati musim yang cemerlang, membantu The Eagles mengharungi 12 perlawanan tanpa dibolosi -- keenam tertinggi bagi musim lalu.

Digelar Spider kerana memiliki kaki yang panjang, terjahan kemas Wan-Bissaka merupakan antara yang dinanti-nantikan penyokong yang hadir menyaksikan dia beraksi.

Persembahannya dalam saingan pra-musim telah berjaya memantapkan lagi jentera pertahanan The Red Devils -- yang bolos 54 gol musim lalu. Selepas mengharungi enam kemenangan, bekas bek kanan Palace itu di landasan yang tepat bagi menghadapi musim baru.

Sepanjang enam perlawanan persahabatan, skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu hanya bolos tiga kali ketika pemain skuad B-21 England itu turun beraksi.

Ini merupakan petanda baik buat United bagi menghadapi musim baru saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk mendapatkan bek kanan jangka masa panjang, sekaligus pengganti terbaik kepada Antonio Valencia yang mengambil keputusan untuk berhijrah.

Walaupun dengan kehadiran Harry Maguire daripada Leicester City sebagai pertahanan termahal dunia dengan yuran perpindahan GBP80 juta (RM409 juta), pembelian Wan-Bissaka merupakan antara yang terbaik dilakukan The Red Devils musim panas ini.

"Tidak mengira jika seseorang pemain itu kelahiran England, Norway, Perancis atau Brazil, anda memerlukan barisan pemain yang berkualiti. Berkemahiran tinggi dan pantas. Ia adalah aset utama bagi saingan bola sepak hari ini. Lebih ramai pemain yang memiliki faktor X, lebih baik pasukan anda," kata Solskjaer kepada MUTV.

"Faktor X" kerap kali dipetik Solskjaer dalam usahanya membentuk pasukan kembali berdaya saing menjelang musim baru. Old Trafford sudah lama tidak memiliki pemain yang benar-benar menghadirkan keterujaan kepada penyokong.

Kehadiran Wan-Bissaka, walaupun turun selaku pertahanan, memiliki kebolehan untuk menghiburkan setiap peminat yang hadir ke stadium.

Terjahan yang dilakukan merupakan sesuatu yang unik. Aksi ampuh dipamerkan dalam aksi persahabatan berdepan Inter ketika membantu United meraih kemenangan 1-0 adalah sesuatu yang mengagumkan.

Diturunkan selaku pemain sayap pada permulaan kariernya, Wan-Bissaka memiliki kebolehan yang membantunya untuk mengawal bola walaupun diberi tekanan pihak lawan.

Kerap mematahkan serangan lawan menerusi situasi satu lawan satu ditambah dengan kecenderungannya membantu pasukan ketika menyerang adalah sesuatu yang dinantikan.

Beraksi bersama kelab gergasi seperti United bakal menghadirkan perbandingan dengan rakan senegaranya, Trent Alexander-Arnold. Pemain Liverpool itu melakukan 13 bantuan jaringan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) -- bilangan yang jauh lebih banyak berbanding Wan-Bissaka, yang sekadar mencipta tiga bersama The Eagles.

Mentaliti dan keinginan Wan-Bissaka untuk memperbaiki mutu permainannya bakal menjadi faktor utama untuk bergelar bek kanan terbaik di England.

Walaupun United sudah mendapatkan khidmat Daniel James dan yang terbaru, Maguire dan Wan-Bissaka merupakan antara prospek bukan sahaja pemain The Red Devils tetapi seluruh Liga Perdana Inggeris (EPL) yang bakal menjadi tumpuan untuk menyerlah sepanjang musim 2019-20 dan merupakan pembelian terbaik United setakat ini.