Kento Momota kembali mewarnai sukan badminton dunia selepas tragedi hitam yang menimpanya setahun yang lalu.

Di gantung setahun setelah bersalah terlibat dengan skandal judi oleh Persatuan Badminton Nippon, menyaksikan impian Momota untuk bersaing di Olimpik Rio 2016 berkecai. Turut sama menimpa nasib yang sama, rakan sepasukan Kenichi Tago.

Dia yang tampil dalam rancangan televisyen tempatan mewarnakan rambutnya hitam semula dan memohon maaf kepada seluruh peminat atas perbuatannya itu. Momota ketika itu mengaku menghabiskan kira-kira 500,000 Yen di salah sebuah kasino di Tokyo. Kerajaan Jepun amat tegas dalam isu ini kerana berjudi adalah aktiviti yang diharamkan di negara tersebut.

Sebelum Momota terpalit dengan isu judi ini, kariernya sebagai pemain badminton sangat menakjubkan. Dia mula mencipta nama sebagai Juara Remaja Asia pada tahun 2012 di Incheon, sebagai pemain perseorangan dan turut sama menjadi juara dalam acara berpasukan campuran. Tahun yang sama juga kemudiannya di tanah airnya sendiri, dia dinobatkan sebagai Juara Remaja Dunia selepas menumpaskan pemain China, Xue Song.

Selepas itu, dia mula mengorak langkah sebagai antara perseorangan lelaki yang berkaliber di dunia. Pemain tangan kidal ini pernah mencapai ranking terbaik, menduduki tangga kedua dunia. Dan siapa boleh lupa, Momota juga adalah antara watak yang memainkan peranan menafikan impian Malaysia untuk menjulang Piala Thomas 2014 di New Delhi, India, dengan menumpaskan Chong Wei Feng dalam perlawanan ketiga, dan seterusnya menyaksikan Jepun menjulang Piala Thomas buat julung-julung kalinya.

Selepas setahun digantung, Momota mula kembali ke kancah badminton dunia. Sunyi tanpa sebarang kejohanan kompetitif langsung tidak merencatkan gaya permainannya yang masih mengkagumkan. Sedikit tempias buat kem Malaysia, apabila Momota dapat menewaskan pemain perseorangan Malaysia, Iskandar Zulkarnain, dalam pertembungan separuh akhir Cabaran Antarabangsa Belgium 15 September lalu dengan keputusan 24-22, 21-16.

Dan dalam tempoh dua minggu, Momota sudah pun memenangi dua kejuaraan berturut-turut, Terbuka Czech dan Belgium dan dia sedang mengejar hatrik apabila bakal turun berentap di Terbuka Belanda.

Rankingnya juga sedang meningkat naik dalam tempoh 4 bulan ini, daripada kedudukan 282 dunia pada Julai, kini berada di kedudukan 110 dunia, dan tidak mustahil beberapa bulan lagi dia akan berada dalam kelompok elit semula.

Jaga- jaga, Kento Momota sudah kembali, maka persaingan dalam acara perseorangan lelaki akan makin sengit.