Mereka datang beramai-ramai untuk meraikan Cristiano Ronaldo dan ternyata mereka tidak dikecewakan.

Bukan sekali tapi dua kali mereka bersorak “Si!” sambil Ronaldo meraikan dua golnya ketika Manchester United membenam Newcastle 4-1 di Old Trafford malam tadi dengan gaya yang sudah menjadi identitinya sebagai menandakan “Sang Raja sudah kembali”.

Pengumuman Ronaldo dalam senarai kesebelasan pada petang sebelum perlawanan, disambut dengan riuh-rendah. Kemudian, apabila bintang berjersi nombor 7 itu memasuki padang sebelum sepak mula, suasananya sudah pun gegak-gempita.

Kebingitannya jauh mengatasi tahap kebisingan di Old Trafford yang mampu diingati ramai sebagai menyerlahkan betapa besar makna kepulangan Ronaldo ke Liga Perdana Inggeris (EPL), apatah lagi dalam jersi merah United yang kali pertama dulu mengangangkatnya sebagai idola.



Tiada silapnya sebarang tanggapan terhadap semalam -- ia adalah hari untuk pemujaan buat seorang pemain yang akhirnya kembali ke pangkuan sebuah “keluarga” besar dan mereka pula mengalu-alukannya dengan cara amat mempesonakan.

Tiada juga keluh-kesah terhadap keperluan kelab membayar gaji £500,000 (RM2.86 juta) seminggu buat seorang pemain yang sudah menginjak usia 36 tahun.

Ronaldo terserlah bagus, atau sekurang-kurangnya dia memang bagus dalam perkara-perkara yang dia diketahui tangkas.

Dia teramat peka untuk menyudahkan lantunan daripada tampanan Freddie Woodman sejurus sebelum rehat dan tenang ketika menyudahkan gol kedua di celah-celah kaki penjaga gol lawan itu pada minit ke-62 persis seorang penjaring dengan kaliber tertinggi.



Cuma, seperti diamati oleh akhbar The Guardian, masalah ketara United musim lalu bukanlah menjaringkan gol.

Mereka adalah pasukan kedua tertinggi daripada segi jumlah jaringan dalam EPL di samping terkeluar daripada saingan Liga Juara-Juara di sebalik menyumbat 15 kali di peringkat kumpulan.

Sebaliknya, masalah utama ialah kecelaruan di bahagian tengah – kurangnya kelancaran gerakan bermakna mereka boleh dikecewakan pasukan-pasukan kurang glamor seperti Crystal Palace, West Brom, Sheffield United dan Villarreal antaranya.

Malah, terdapat tanda-tanda dalam separuh masa pertama semalam yang kehadiran Ronaldo mungkin menambahkan lagi kerumitan itu. Namun, mungkin juga masih terlalu awal dek keserasian yang belum lagi terjalin.

Contohnya apabila Ronaldo melepaskan diri di sebelah kiri kotak penalti lawan selepas 20 minit yang menyaksikan sepakannya menyinggahi jaring di sebelah luar, tiada rakan sepasukan berada di tengah-tengah untuk menjangkakan umpanannya – Mason Greenwood, Jadon Sancho dan Bruno Fernandes hanya tercegat sedikit ke belakang.

Ketibaan Ronaldo juga menurunkan Paul Pogba lebih kerap ke belakang sedikit dan ia mendedahkan United kepada risiko serangan balas seperti ditunjukkan Newcaastle untuk mengikat kedudukan menerusi Javier Manquillo pada minit ke-56.



Namun, semalam bukanlah harinya untuk berasa bimbang apa-apa.

Sebaliknya, ia adalah hari untuk peminat United terbuai-buai dengan bayangan kejayaan silam dan barangkali juga terbayangkan kejayaan lanjut yang bakal menyusul.

Ronaldo bersendirian tidak mungkin mampu mengatasi semua masalah mereka tapi dengan aura Sang Raja yang dibawanya, The Red Devils tidak harus dipersalahkan jika mereka sudah mula memasang impian besar.