Anda meminati filem Hollywood? Jika penamat cerita itu indah, sudah pasti ada watak yang terpaksa ‘dikorbankan’.

Penulis bukan mahu bercerita mistik mahupun menganalisis filem disini, tapi kisah yang berlaku kepada Arsenal minggu ini ibarat kisah filem dengan penamat indah. Minggu ini ada kisah suka dan duka buat peminat Arsenal. Kapten yang mereka agung-agungkan Pierre Emerick Aubameyang sah menandatangani kontrak baru bagi meneruskan legasi yang telah dibina. Namun, beberapa hari selepas itu, mereka terpaksa melepaskan antara hero di gawang gol ketika menjulang Piala FA, Emiliano Martinez yang berpindah ke Aston Villa.

Kisah Auba ini sebenarnya merupakan sumpahan yang menghantui Arsene Wenger dari dulu yang akhirnya berjaya dimatikan Mikel Arteta. Wenger dulu mempunyai badi untuk memujuk dan mengekalkan pemain utama Arsenal yang berada dalam tahun terakhir untuk melanjutkan kontrak. Lilitan kapten dianggap sumpahan, kerana mana-mana pemain yang memakainya, pasti akan meninggalkan pasukan ketika di puncak prestasi. Barisan pemain seperti Ashley Cole, Cesc Fabregas, Robin Van Persie dan Alexis Sanchez antara senarai panjang pemain yang meninggalkan pasukan The Gunners ketika kontrak berbaki setahun.

Apa yang mendorong Auba untuk kekal?

Menurutnya, visi Arteta merupakan punca utama Auba untuk kekal. Arteta menekankan betapa pentingnya untuk meneruskan legasi yang sudah dibina Auba sejak tiba di utara London. Auba turut membuka cerita bagaimana perbualan panjangnya bersama Arteta ketika tempoh kuarantin membuka hatinya untuk kekal. Dia turut menekankan yang Arteta merupakan jurulatih yang jujur, dan tidak berselindung mengenai apa-apa perkara yang berlaku dalam kelab. Jersi 14 yang dipakainya pun mempunyai signifikan yang cukup besar untuk peminat Arsenal. Jersi itu dipakai legenda kelab yang mempunyai tugu di luar stadium. Auba juga sudah pasti masih ingat, ketika masuk, dia berazam untuk memecah rekod Thierry Henry dan menjadi legenda di Emirates, dan akhirnya dia memegang kata-kata itu!

Cuma minggu indah Arsenal di calarkan dengan berita perpindahan penjaga gol Emiliano Martinez ke Aston Villa. Walaupun cuba dipertahankan Arteta, kegagalan Emi untuk merampas tugas nombor 1 kepada Bernd Leno ketika aksi pembuka liga jelas mendorong kepada perpindahannya. Emi sebenarnya sudah 11 tahun bersama The Gunners, lebih lama dari mana-mana pemain dalam skuad ketika ini. Namun dia lebih banyak bersama pasukan simpanan, di pinjam ke kelab lain, sehingga akhirnya mendapat peluang selepas Leno mengalami kecederaan. Memikirkan dia perlu terus beraksi, perpindahan merupakan jalan terakhir yang perlu dilakukannya.

Paling menarik perhatian, ketika sah akan berpindah, dia meminta Arsenal untuk merekodkan ucapan selamat tinggal kepada semua staf dan peminat The Gunners sepanjang 11 tahun bersama kelab. Emi sebenarnya terdesak untuk beraksi agar dapat merebut tempat dalam skuad kebangsaan Argentina. Kita ketahui, kebanyakan penjaga gol Argentina bukan dari kalangan penjaga gol utama kelab, dan dengan Piala Dunia yang akan muncul dalam masa 2 tahun, ia misi hidup mati dalam perjalanan kariernya.

Walaupun di atas kertas, Arsenal meraih keuntungan daripada harga jualan yang melebihi harga pasaran, mereka sebenarnya akan kehilangan seorang lagi pemain ‘homegrown’. Profit bayaran ini sudah pasti digunakan untuk membeli sama ada Thomas Partey ataupun Houssem Aouar, namun mereka perlu menyingkirkan beberapa lagi pemain agar slot bukan pemain ‘homegrown’ dapat dipenuhi. Menurut undang-undang Liga Perdana Inggeris, setiap pasukan hanya boleh mendaftar maksimum 17 pemain bukan ‘homegrown’, iaitu pemain yang bukan kerakyatan UK, dan tidak bersama Liga Inggeris sejak umur 16 hingga 21 tahun. Jadi penulis menjangkakan akan ada beberapa lagi pemain bukan ‘homegrown’ yang perlu dijual sebelum jendela perpindahan ditutup. Mungkinkah Mesut Ozil dalam senarai tu?

Jika Arteta dapat menyelesaikannya dalam tempoh terdekat ini, sudah pasti 4 teratas bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai.