Itu yang saya lihat dalam diri atlit-atlit paralimpik negara. Boleh dikatakan setiap hari saya bertemu mereka, mendekati dan mendengar kisah hidup mereka. Tidak kira sukan olahraga, badminton, renang, bola keranjang atau memanah, mereka sememangnya berkebolehan.

Kagum! Itu yang saya boleh katakan. Ini kerana saya tidak dapat gambarkan bagaimana mereka yang kurang upaya mampu bersukan seperti orang normal. Hebat bukan?

Bukan itu sahaja, mereka kini boleh dikatakan berada di ranking teratas dunia. Siapa tidak kenal atlit olahraga yang menggondol emas sewaktu Kejohanan Dunia IPC di Doha tempoh hari?

Abdul Latif Romly and Muhammad Ridzuan Puzi, atlit olahraga yang berjaya merangkul pingat emas sememangnya telah membuka mata orang ramai mengenai sukan paralimpik yang mampu mengharumkan nama negara sekali gus membuka peluang dengan lebih cerah untuk mereka menempah slot ke Paralimpik Rio tahun hadapan.

Selain atlit olahraga, saya juga sempat bertemu dengan atlit renang negara, Zul Amirul Sidi Abdullah. Dilahirkan cacat sejak kecil dan kini berkerusi roda, tidak dapat saya bayangkan bagaimana dia mampu untuk berenang. Apa yang dia boleh kongsikan, sokongan positif yang berterusan sebenarnya menjadi kunci kepada apa yang telah dicapai sekarang. Lebih lebih lagi, usianya juga sudah menjangkau 43 tahun. Tetapi masih lagi gagah untuk berbakti atas nama negara. Saya yakin, semangat dari segi fizikal dan mental mereka sebenarnya lebih hebat berbanding orang normal.

Ahmad Nazri Hamzah, ketua pasukan bola keranjang para negara yang kehilangan kaki kanan pada tahun 2004 juga sempat berkongsi kisah hidupnya. Disahkan mengalami kanser tulang, dia terpaksa melakukan pembedahan yang memaksa kaki kanannya dipotong. Akui pada mulanya, dia sukar untuk terima kenyataan itu.

Apa tidaknya, seawal usia 14 tahun dia perlu berdepan realiti bahawa dia terpaksa menjalani kehidupan tanpa kaki kanan. Sukar untuk saya bayangkan hidupnya ketika itu. Namun, hidup terpaksa diteruskan. Dorongan rakan-rakan yang tidak mahu melihat hidupnya bersedih, dia mula bermain bola keranjang sebagai satu hobi. Selepas itu, atas usahanya sendiri, dia terpilih untuk mewakili negara pada tahun 2009 sehingga sekarang. Fasa hidup yang amat perit pada mulanya namun berjaya diatasi atas kecekalan diri. Tidak normal, tidak menjadi masalah buatnya. Itu yang sentiasa dipegang dalam diri.

Kini, kesemua atlit paralimpik sedang mempersiapkan diri sepenuhnya untuk bersaing dalam Sukan Para Asean 2015 yang bertempat di Singapura, Disember ini. Sudah pasti, rutin harian mereka kini dipenuhi dengan latihan sepenuh masa. Tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum mereka berangkat ke Singapura. Apa yang saya harapkan, usaha mereka dapat ditebus dengan membawa pulang pingat sekali gus dapat mengharumkan nama negara di mata dunia.