Kontinjen negara yang tercari-cari emas sulung selepas 60 tahun penyertaan Malaysia dalam Sukan Olimpik, harus tidak perlu merenung jauh untuk mendapatkan sentuhan nurani dan lonjakan motivasi.

Ia sebenarnya berlaku betul-betul di depan mata mereka di Stadium Maracana, Rio de Janeiro ketika upacara pembukaan rasmi temasya Rio 2016, pagi tadi.

Lama selepas rombongan Malaysia melakukan perbarisan lintas hormat dengan diketuai Datuk Lee Chong Wei selaku pembawa Jalur Gemilang, ada sekumpulan kecil 10 atlet yang memukau perhatian ramai – malah dunia.

Berbeza dengan 208 kontinjen negara lain, mereka tidak pun memiliki bendera rasmi sebuah negara kecuali mengarak panji-panji Olimpik.

Buat julung-julung kalinya dalam sejarah Sukan Olimpik, tampil “Pasukan Pelarian Olimpik” yang berarak sejurus sebelum kontinjen tuan rumah, Brazil.

Menyaksikan atlet-atlet ini menerusi siaran langsung upacara pembukaan itu, mereka yang terdiri daripada 10 atlet -- lima dari Sudan Selatan, dua dari Syria, dua dari Republik Demokratik Congo dan seorang dari Habsyah – dan mendengar ulasan selari mengenai kontinjen kecil yang istimewa ini, air mata saya bergenang.

Pelbagai komen dari merata negara yang saya tatap menerusi laman sosial, menyerlahkan semuanya turut berkongsi simpati dengan mereka sambil ia harus membuatkan anggota kontinjen negara lain – Malaysia tidak terkecuali -- berasakan betapa mereka sebenarnya amat bertuah.

Siapakah mereka ini?

Dibentuk hanya lima bulan lalu, pelarian yang ketiadaan negara ini asalnya dipilih daripada sekumpulan 43 pelarian yang mengharungi saringan kelayakan, sama seperti atlet negara lain juga.

“Pelarian ini tiada kediaman, tiada pasukan, tiada bendera, tiada lagu kebangsaan,” kata Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach, ketika mengumumkan kehadiran mereka, seperti dilaporkan dalam laman web rasmi www.rio2016.com

“Kami menawarkan mereka tempat tinggal di Perkampungan Sukan Olimpik bersama atlet-atlet dari seluruh dunia. Ini akan menjadi simbol harapan buat semua pelarian di dunia ini dan membuat masyarakat dunia lebih peka terhadap betapa besarnya krisis warga yang tidak bernegara ini.”

Bukan hanya mereka mendapat sambutan gemuruh penonton di dalam stadium, penonton di rumah, malah dihujani pujian dan kata-kata semangat peminat sukan seantero dunia.

“Kami juga manusia,” Yusra Mardini, 18, – seorang perenang Syria yang tahun lalu membantu menarik satu bot yang sarat dengan pelarian sejurus sebelum ia karam, dipetik sebagai berkata. “Kami bukan sekadar pelarian, kami juga seperti anda yang lain di dunia.”

Rakan-rakan sepasukan Mardini adalah Rami Anis dari Syria (renang), Yiech Pur Biel, Paulo Amotun Lokoro, Anjelina Nadai Lohalith, James Nyang Chiengjiek, dan Rose Nathike Lokonyen (semuanya pelumba lari berasal dari Sudan Selatan), Yolande Bukasa Mabika dan Popole Misenga (peserta judo berasal dari Congo) dan seorang lagi pelari berasal dari Habsyah, Yonas Kinde.

Setiap seorang daripada atlet ini, yang tiada pilihan selain terpaksa meninggalkan negara asal mereka demi kelangsungan hidup, sebenarnya menjadi perlambangan kecekalan, disiplin dan keberanian, sesuai dengan semangat sebenar Olimpik.

Andai dibandingkan dengan 32 atlet negara, tiada langsung kekurangan di pihak kontinjen kita yang dilimpahi kemewahan persiapan terbaik, kebanyakannya di luar negara dengan jurulatih profesional, serta mendapat sepenuh sokongan daripada persatuan sukan kebangsaan masing-masing di samping kerajaan.

Memadailah semua itu dibalas dengan membutirkan pingat emas pertama buat Malaysia.