Dalam menyokong usaha kerajaan supaya lebih ramai rakyat Malaysia bersukan, Astro menganjurkan Astro Hari Sukan Get Fit pada 29 September 2015.

Ini juga merupakan sokongan kepada Hari Sukan Negara yang dikemudi oleh Kementerian Belia dan Sukan pada 10 Oktober 2015.

Hari Sukan Negara akan diraikan pada Sabtu minggu kedua bulan Oktober setiap tahun. Kerajaan akan mengambil langkah yang bersepadu ke arah mentransformasikan Malaysia kepada negara bersukan.

Sambutan Hari Sukan Negara pada 10 Oktober nanti, akan menglibatkan sektor awam, swasta dan rakyat secara serentak di seluruh negara.

Kerajaan berhasrat untuk menggalakkan budaya bersukan. Pada masa yang sama menitikberatkan penglibatan bersama dalam aktiviti-aktiviti sukan yang akan merapatkan hubungan rakyat antara satu sama lain tanpa mengira umur, bangsa dan kepercayaan agama.

“Hanya 30% daripada 30 juta rakyat Malaysia yang aktif bersukan. Mesej kami kepada semua ialah bersukan dapat mengatasi masalah obesiti dalam kalangan rakyat negara ini dan penyakit lain antaranya penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi. Ia juga menjadikan rakyat Malaysia lebih sihat dan produktif,” kata Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin yang turut menyertai larian dan aktiviti sukan Astro Hari Sukan Get Fit.

Lebih kurang 1000 staf Astro mengambil bahagian dalam program ini termasuk selebriti sukan seperti Shalin Zulkifli-Boling, Khoo Cai Lin-Renang, Muhammad Irfan Shamsudin–Olahraga dan Zulhijjah Azan-Skuasy.

Hos dan staf Astro Arena juga tampil menyokong program ini antaranya Zainal Abidin Rawop, Sharon Wee, Intan Nur Saina dan Hafizal Hamad.

Apa yang pasti Hari Sukan Negara pada 10 Oktober 2015 ini akan menjadi pemangkin kepada bermulanya budaya bersukan di kalangan rakyat Malaysia.