Arsenal dilanda krisis selepas hanya dua perlawanan dalam Liga Perdana Inggeris musim ini.

Setelah tewas 2-0 kepada Brentford minggu lalu, dan terbaru di tangan Chelsea dengan skor serupa semalam, The Gunners kini berada di tangga ke-19 liga tanpa sebarang gol.



Sewaktu Mikel Arteta memulakan tugasnya pada hujung 2019, dia sudah menyatakan dari awal lagi bahawa terajunya bakal menjadi satu proses pembaikan secara berperingkat.

Gaya permainan Arsenal bakal diubah, begitu juga dengan sikap pemain serta strategi keseluruhan.

Pemulihan Arsenal bakal mengambil waktu.

Namun, persoalan yang pastinya ditanya oleh peminat adalah berapa lama harus mereka menunggu?

Di manakah pembaharuan dan peningkatan pasukan setelah 20 bulan Arteta mengemudinya?

Selain kejayaan menjulang Piala FA pada musim pertama, Arsenal sebenarnya tidak banyak berkembang maju daripada segi keseluruhan.

Mereka masih berada di takuk yang sama sewaktu musim-musim terakhir Arsene Wenger dan ketika mereka diketuai oleh Unai Emery.

Sewaktu menonton perlawanan menentang Chelsea semalam, keputusan akhir seolah-olah sudah boleh diramal dari awal permainan lagi.

Ia langsung tidak mengejutkan sewaktu penonton menyaksikan betapa mudahnya Arsenal dibuli oleh Romelu Lukaku dan tidak menghairankan betapa tumpulnya persembahan mereka.

Mari kita lihat gol pembukaan Chelsea sebagai contoh.

Sewaktu Lukaku memulakan serangan, dia bagaikan ‘magnet’ yang menarik empat pemain pertahanan Arsenal ke arahnya.



Pablo Mari cuba untuk menggunakan tubuhnya bagi menghalang serbuan Lukaku, namun kesudahannya dia jatuh tergolek dengan begitu memalukan sekali.

Apabila Lukaku menerima hantaran silang dari Reece James, sudah tidak ada seorang pun pemain Arsenal yang berada di posisi tepat untuk menghalang gol daripada dijaringkan.

Kesilapan demi kesilapan dilakukan sepanjang permainan.

Menurut analisis dan pemerhatian akhbar The Guardian, Nicolas Pepe yang sepatutnya bertugas di sayap kanan kelihatan terpaksa mengejar bola sehingga ke sayap kiri.

Granit Xhaka gagal bekerjasama dengan Albert Sambi Lokonga sehinggakan posisi mereka berjarak sejauh 40 ela daripada satu sama lain.

Persoalan yang berlegar di minda adalah mengapa Arteta tidak mengambil sebarang tindakan jelas untuk memperbetulkan kelonggaran pasukannya sepanjang 90 minit perlawanan?

Potensi untuk berkembang bukannya langsung tidak wujud di dalam skuad Arsenal, mereka mempunyai ramai pemain muda yang berbakat besar.

Namun, jika bakat muda sebegini terus menderita bersama skuad yang gagal berfungsi secara efisien, potensi tersebut mungkin bakal pudar.

Pemain-pemain muda sebegini perlu menerima tunjuk ajar daripada mentor yang selayaknya, bukannya pemain senior yang sedang bergelut mencari prestasi tersendiri.

Dalam sesi temu ramah pasca perlawanan bersama akhbar The Daily Mail, Arteta mengakui bahawa skuadnya bakal berhadapan dengan cabaran besar dalam perlawanan-perlawanan akan datang, tetapi sempat memberikan komen sarkastik dengan memuji 'galakan' yang diberikan oleh penyokong yang hadir ke stadium, walhal seluruh pasukan dicemuh sepanjang
perlawanan akibat persembahan yang begitu hambar sekali.

Arteta telah berkali-kali menegaskan bahawa dia tahu di manakah punca masalah Arsenal. Namun, masalah-masalah tersebut kelihatan masih kekal dan tidak ditangani sebaiknya.

Jika ini berterusan, mampukah Arteta terus mengekalkan jawatannya? Sukar sekali.

Apa agaknya kesudahan Arsenal sewaktu bertembung dengan Manchester City di tempat lawan minggu depan?