Pep Guardiola kini sedang menikmati permulaan musim yang cemerlang dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Beraksi 10 kali tanpa tewas sambil mencatat 35 jaringan membuktikan bahawa pengendali dari Sepanyol itu benar-benar telah belajar daripada tahun pertamanya di England selepas sekadar menduduki tangga ketiga, musim lalu.

Ternyata kehadiran semula Raheem Sterling dan Gabriel Jesus membuatkan jentera serangan City semakin konsisten setelah kedua-duanya gagal mempamerkan aksi sama sebelum ini.

Setakat ini, jumlah gol Sterling dalam EPL telah menyamai angka jaringannya pada akhir musim lalu sementara Jesus yang bergelut dengan kecederaan sejak ketibaannya dari Palmeiras telah menemui sentuhannya dengan enam gol.

Situasi itu membolehkan The Citizens meraih 26 gol hasil daripada rangkaian empat bintang utama, iaitu Jesus, Sterling, Sergio Aguero (tujuh gol) dan Leroy Sane (enam gol).



Lambakan pemain di barisan depan dan sayap jelas memberikan lebih pilihan buat Guardiola dan pastinya, dua pemain tengah, Kevin de Bruyne dan David Silva, turut gembira dengan perkembangan itu.

Buktinya, De Bruyne dan Silva kini sama-sama mendahului senarai bantuan jaringan dan Sane turut berjaya menempatkan diri dalam kelompok lima pemain dengan bantuan jaringan terbanyak.

Berdasarkan prestasi semasa, tidak salah jika menyifatkan Guardiola akhirnya menemui jalan sebenar untuk menerapkan konsep "Tiki-Taka" ke dalam skuad bimbingannya itu.

Guardiola adalah individu yang membudayakan semula konsep itu di Barcelona sejak 2008 -- selepas Johan Cruyff memulakannya dalam era 90-an -- sehingga melahirkan Andres Iniesta dan Xavi Hernandez dan percubannya bersama Bayern Munich (2013-2016) juga menampakkan hasil.

Walaupun ramai yang mempersoalkan kredibilitinya yang hanya "melatih pasukan bintang", Guardiola menutup mulut pengkritik pada musim ini apabila membelasah Stoke City 7-2, 14 Oktober lalu.

Sebelum ini, Arsene Wenger telah pun mempertaruhkan dua "kepercayaan" itu buat Arsenal tetapi setelah wujudnya nama seperti Alexis Sanchez, Alex Iwobi dan Hector Bellerin, The Gunners lebih selesa untuk berpegang dengan kepantasan.



Tatkala Aguero kini berada di tahap terbaik selepas mencatat nama selaku penjaring terbanyak sepanjang zaman buat Citizens dengan 178 gol menerusi jaringan menentang Napoli dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL), pastinya aksi City menjadi tumpuan utama setiap minggu.

Lebih menarik, dua pasukan yang disebutkan di atas bakal bertembung di Etihad pada Ahad ini untuk aksi ke-11 dan persoalan mengenai pegangan siapa yang lebih unggul tentunya akan dapat dijawab.