Keupayaan teknikal individu yang baik daripada pemain-pemain skuad Arab Saudi B-19 serta taktikal disiplin ketika menyerang dan bertahan memberi kelebihan kepada mereka berbanding Malaysia kendalian Bojan Hodak.

Ia boleh dilihat tatkala kawalan bola yang begitu selesa dipamerkan oleh pemain-pemain Arab Saudi dan bijak dalam meletakkan diri mereka di posisi yang tepat selain berfikir serta membuat keputusan dengan pantas. Itulah intipati kejayaan Arab Saudi dalam menewaskan Malaysia.

Kita dapat lihat bagaimana pemain sayap kiri yang mencuri tumpuan penulis iaitu Khalid Al Ghannam dan penjaring gol pertama Arab Saudi, Turki Al Ammar, yang mempunyai skil individu tinggi serta kepantasan berfikir selain tenang apabila berhadapan tekanan. Begitu juga pemain Arab Saudi yang lain di mana masing-masing menpunyai kelebihan, kekuatan dan kematangan dalam permainan tersendiri.

Berbeza dengan Malaysia, mereka seolah-olah hilang arah dan keyakinan diri apabila diberi tekanan oleh pemain Arab Saudi. Kita dapat lihat apabila tekanan awal diberikan oleh penyerang Arab Saudi, pemain-pemain Malaysia terutama di bahagian pertahanan dan tengah seolah-olah tiada idea dan ketenangan. Banyak kesilapan dilakukan terutama ketika melakukan hantaran dan kedudukan diri daripada segi taktikal di mana dengan mudah dibaca pihak lawan untuk memintas.

Ini perlu diperbaiki oleh Hodak sebelum perlawanan kedua nanti walaupun Malaysia mempunyai pemain-pemain berpengalaman seperti Nik Akif Syahiran Nik Mat, Akhyar Rashid dan Hadi Fayyadh. Pemain-pemain Malaysia perlu yakin dengan kemampuan diri sendiri sekiranya ingin mencipta kemenangan kerana mereka boleh lakukan sebenarnya.

Lihat sahaja bagaimana kerja secara berpasukan yang ditunjukkan pada minit-minit akhir sehingga Hadi berjaya melakukan jaringan untuk merapatkan jurang jaringan namun ia sudah terlewat. Bangkitlah dalam perlawanan kedua nanti, tunjukkanlah kekuatan sebenar skuad kebangsaan sekiranya ingin membuat kejutan di peringkat Asia bawah 19 tahun.