Keputusan Muhammad Najmi Farizal Jazlan memilih untuk meninggalkan kem skuad hoki negara secara mengejut baru-baru ini masih menjadi misteri kepada semua peminat hoki tanah air termasuk barisan kejurulatihan.

Saya sendiri tertanya-tanya masalah sebenar dialami Najmi hingga sanggup mengambil keputusan drastik tatkala Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia akan bermula bulan depan.

Najmi sudah mengukir nama antara pemain penting di bahagian pertahanan selain kepakarannya mengambil pukulan sudut penalti merupakan salah satu aset buat skuad negara.

Ketiadaan Najmi boleh dikatakan satu kerugian besar buat skuad negara yang mempunyai misi besar iaitu memenangi pingat emas Sukan Asia 2018 agar meraih slot automatik ke Sukan Olimpik 2020.

Bagaimanapun, saya merasakan situasi ini mampu ditangani dengan baik oleh ketua jurulatih, Stephen Van Huizen yang mempunyai ramai lagi pemain-pemain berpotensi mengisi kekosongan Najmi.

Antara yang mampu mengambil alih tempat Najmi ialah Syed Syafiq Syed Cholan yang sudah mula diberikan banyak pendedahan kejohanan antarabangsa seperti Piala Sultan Azlan Shah, Sukan Komanwel 2018 dan Jelajah Argentina baru-baru ini.

Selain itu, Van Huizen juga mempunyai banyak pilihan lain seperti Amirol Aideed Arshad dan Muhammad Najib Abu Hassan.

Benteng pertahanan skuad negara akan kembali mantap sekembalinya Izad Hakimi Jamaluddin daripada masalah kecederaan lutut yang menyaksikan dia terpinggir dalam semua kejohanan setakat tahun ini.

Najmi masih berpeluang bersama skuad negara jika dia berhasrat untuk kembali tetapi ia bukan mudah kerana perlu melalui semula proses pemilihan seperti dilalui pemain lain.

Sentuhan Najmi juga berkemungkinan besar boleh hilang dan 'berkarat' apabila lama tidak berlatih dalam keadaan intensiti tinggi seperti latihan bersama pasukan kebangsaan.

Pada masa sama tahap kecergasan Najmi juga boleh menurun sekali gus sukar untuk bersaing merebut tempatnya semula.

Mengenali karakter Najmi sewaktu saya bersama Skuad Projek 2016 dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), dia seorang pemain yang begitu komited, berdisiplin tinggi dan turut memiliki aspek kepimpinan dalam diri.

Peminat-peminat hoki negara termasuk saya sendiri masih buntu sama ada Najmi sedang mengambil masa untuk berehat buat seketika atau berhenti terus daripada sukan hoki.

Selamat maju jaya dalam apa jua keputusan anda, Najmi.