Sepak mula Liga Super dan Liga Perdana 2016 dilakukan minggu lalu.

Ini disusuli undian Piala FAM, Piala Presiden dan Piala Belia.

Jangan lupa juga kemeriahan Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) yang masuk peringkat nasional dengan membabitkan 16 pasukan daerah dari seluruh negara.

Liga Super, Liga Perdana, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih serta Piala FA adalah saingan bola sepak elit yang diuruskan oleh Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), syarikat yang diwujudkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Piala FAM, Piala Presiden untuk Bawah 21 tahun dan Piala Belia (Bawah 19 tahun) di bawah naungan FAM yang kini memberi fokus kepada pembangunan.

LBR pula diuruskan oleh Perkongsian Liabiliti Terhad LBR (LBR-LLP).

Mengikut struktur yang ada, Liga Super harus diangkat sebagai divisyen paling tinggi, disusuli Liga Perdana sebagai divisyen dua. Liga FAM bertaraf amatur adalah divisyen tiga, manakala LBR divisyen lima.

Divisyen Empat? Tentu sekali Liga Institusi Pengajian Tinggi (IPT) anjuran Kementerian Pelajaran yang dihadkan kepada pelajar universiti awam (UA) dan swasta.

Asalkan berdaftar, pelajar dari politeknik dan kolej komuniti diberi peluang bersaing dengan mahasiswa dari UA yang mendapat peruntukan besar.

Dalam struktur ini, usaha merakyatkan bola sepak cukup jelas.

Namun kita perlu memikirkan sama ada kanak-kanak di peringkat komuniti mendapat pendedahan kepada bola sepak atau sukan lain pada usia yang sesuai.

Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) dan Liga 1MCC serta Liga KPM khas untuk murid yang boleh dianggap elit kerana memerlukan sokongan Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pelajaran dan sektor swasta serta ibu bapa.

Bagaimana pula mereka yang berada di pedalaman atau ibu bapa kurang mampu untuk membawa anak-anak mereka ke pusat latihan daerah?

Anak-anak dulu-dulu bermain setiap petang secara spontan dengan persekitaran yang menggalakkan.

Hari ini masyarakat sudah jauh berubah dengan penekanan terhadap akademik dan sahsiah mengambil masa permainan anak-anak yang diperlukan untuk mereka menjadi insan yang stabil dari sudut emosi dan rohani, manakala permainan konsol dan komputer, bukannya aktiviti lasak, menjadi pilihan anak-anak.

Berapa ramai sebenarnya anak-anak yang bermain bola sepak setiap petang agar tubuh mereka dirangsang dan diajar menyentuh bola, agar badan lebih lenggok serta fleksibel serta lebih tajam minda bola sepak mereka?

Latihan lebih berstruktur dan sistematik yang dikendalikan oleh agensi yang disebut bertujuan memberi tunjuk ajar kepada kelompok kecil, walhal anak-anak di kampung ketinggalan jika tidak mendapat sokongan.

Kepincangan ini sukar diatasi. Itulah hakikatnya.