Tamat sahaja perlumbaan Moto GP di Mugello, Itali minggu lalu, menghadirkan pelbagai berita sensasi membabitkan penghijrahan pelumba ke pasukan baru.

Antara yang paling mencuri tumpuan adalah pemergian Dani Pedrosa yang meningggalkan Honda Repsol selepas berbakti dengan pasukan itu selama 13 tahun, dan penggantinya adalah juara dunia tiga kali Jorge Lorenzo.

Ia dianggap satu berita yang mengejutkan kerana sebelum ini terdapat ura-ura bahawa pasukan Yamaha akan cuba memikat kembali Lorenzo selepas pelumba itu kelihatan bergelut dengan pasukan Ducati musim ini. Tidak kurang yang mengaitkan Lorenzo akan diletakkan satu pasukan bersama Hafizh Syahrin.

Hafizh akhirnya sah bersama pasukan Tech3, dan akan akan bergandingan dengan pendatang baru Moto GP musim depan, Miguel Oliviera.

Berbalik kepada Lorenzo, dia menyertai Ducati pada 2017 dan bergandingan dengan Andrea Dovizioso, namun podium pertamanya bersama pasukan merah putih itu hanya hadir pada perlumbaan di Mugello tempohari.

Kejayaan menamatkan saingan di tempat pertama dan mengutip 25 mata dalam perlumbaan tersebut ternyata menaikkan motivasi Lorenzo dalam meletakkan dirinya dalam kelompok 10 pelumba terbaik Moto GP musim ini.

Dengan perkhabaran dia mengesahkan penghijrahan ke Honda Repsol musim hadapan, ia akan meningkatkan kembali reputasi Lorenzo dalam kancah Moto GP.

Harus diingat Lorenzo akan bergandingan dengan Marc Marquez, juara empat kali Moto GP sejak 2013.

Justeru sudah ada pihak membuat ramalan awal pasukan Honda Repsol bakal terus mendominasi saingan Moto GP untuk tahun mendatang, ditambah kedua-dua pelumba ini punyai gaya tunggangan yang agresif.

Namun, semua itu masih lagi ramalan awal, dan musim 2018 masih panjang yang berbaki 13 pusingan untuk dihabiskan.