Penyandang juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT), mempamerkan permulaan yang hambar buat musim 2017 selepas kehilangan tiga mata apabila tewas kepada Perak 2-1, malam tadi.

Rekod megah selaku pasukan yang tidak mengalami sebarang kekalahan musim lalu, hanya memerlukan empat perlawanan musim ini untuk akhirnya lebur.

Hanya selepas empat perlawanan, skuad Harimau Selatan itu sudah pun keciciran tujuh mata – seri 1-1 dengan Kedah, 0-0 dengan Selangor di samping kemenangan tunggal 3-1 ke atas Felda United – untuk menduduki tangga kelapan yang jelas bukan kelaziman buat mereka.

Perbezaan jaringan 5:4 juga jauh daripada meyakinkan, seakan-akan memberi gambaran ketirisan besar di benteng pertahanannya.

Musim lalu, 'The Invincibles' merupakan gelaran buat JDT apabila menamatkan saingan liga tanpa sebarang kekalahan.

Selepas mengharungi 22 perlawanan, skuad Harimau Selatan kukuh berada di puncak Liga Super dengan 58 mata hasil daripada 18 kemenangan dan empat kali seri.

Lantas, status itu telah menjadikan JDT seiring dengan kelab gergasi Eropah seperti Arsenal, AC Milan, Juventus dan Porto.

Bagaimanapun, prestasi pasukan bertaraf bintang ini semakin merunsingkan apabila sekadar memungut lima mata selepas empat perlawanan. Ia merupakan satu permulaan yang teruk bagi JDT dalam tempoh tiga musim.

Baik menerusi laman Johor Southern Tigers sekalipun, penyokong sudah mula mempersoalkan pelbagai perkara, daripada penggantian Mario Gomez selaku ketua jurulatih, pemilihan kesebelasan utama yang boleh dipersoalkan hinggalah kepada strategi permainan.

Pengendali pasukan, Benjamin Mora, dilihat masih gagal untuk memahami gaya permainan anak buahnya dan keadaan ini akan meletakkan beliau dan pasukan di dalam kedudukan yang semakin terdesak.

Adakah kejatuhan prestasi JDT berpunca daripada perletakan jawatan Gomez beberapa hari sebelum musim 2017 bermula ataupun beberapa pemain utama pasukan yang mengambil keputusan untuk berhijrah ke pasukan lain?

Barangkali juga barisan import terbarunya belum mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Jorge Pereyra Diaz dan Juan Martin Lucero – gandingan dua pemain dari Argentina yang menggemilangkan cabaran mereka musim lalu.

Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk menghukum JDT kerana saingan liga yang masih berbaki 18 perlawanan adalah satu perjalanan yang sangat panjang.

Jika JDT mengambil perkara ini dari sudut positif dan melihatnya sebagai satu cabaran besar, berkemungkinan mereka mampu meraih kejuaraan buat kali keempat.

Andai diakui untuk meraih kejuaraan itu sukar, maka mengurus kejayaan sebenarnya berganda-ganda kepayahannya. Itu hakikat yang perlu diterima oleh JDT.