Sekitar empat bulan lalu, langit di kota Rome menjadi sasaran bunga api kerana setiap warga Itali meraikan kejayaan menjulang trofi EURO 2020 sekaligus menamatkan penantian sejak tahun 1968 untuk mengulangi sejarah tersebut.

Daripada pasukan yang gagal ke pentas Piala Dunia 2018, nasib juara dunia empat kali itu diubah sejak kehadiran Roberto Mancini termasuk memecahkan catatan rekod tanpa kalah selama 35 perlawanan milik Sepanyol (2007-2009) serta Brazil (1993-1996).

Bagaimanapun, semuanya seakan-akan mula mengalami penurunan draf.



Rekod tanpa kalah yang diraih Itali itu akhirnya lebur dalam perlawanan ke-38 setelah tewas 1-2 di tangan La Roja ketika aksi separuh akhir Liga Negara-Negara UEFA, awal bulan lalu. Meskipun mengatasi Belgium 2-1 ketika aksi penentuan tempat ketiga, ia jelas tidak memberi sebarang makna buat sebuah pasukan yang masih segar dengan trofi EURO 2020.

Namun, kini nasib Azzurri mula dihitung oleh semua peminat susulan keputusan seri 1-1 dan 0-0 ketika berdepan Switzerland dan Ireland Utara bagi saingan kelayakan Piala Dunia 2022, menyebabkan mereka terpaksa bergantung dengan pusingan play-off pada bulan Mac depan sebelum mengesahkan tempat ke Qatar 2022.

Persembahan anak-anak buah Mancini dalam dua perlawanan terakhir kelayakan itu jelas berbeza dengan apa yang ditampilkan ketika saingan EURO 2020 dan situasi itu jelas diakui tonggak pertahanan tengah, Leonardo Bonucci.



“Kami perlu mengecaskan bateri untuk mental dan fizikal, mengembalikan keinginan tinggi terhadap bola sepak yang kami nikmati ketika EURO 2020,” katanya.

Jika empat tahun lalu, ketiadaan Itali dalam Piala Dunia adalah disifatkan sebagai peringatan untuk mereka memulakan proses pembaharuan dalam skuad tetapi dengan pasukan yang kini diperkuatkan oleh nama-nama seperti Federico Chiesa, Lorenzo Insigne, Ciro Immobile serta Lorenzo Pellegrini, kegagalan ke Qatar 2022 bakal memberikan masalah besar buat Mancini.



Namun, harus diingat bahawa format play-off kali ini agak berbeza dengan edisi Piala Dunia sebelumnya. Daripada 12 pasukan yang akan terlibat, hanya tiga pasukan akan meraih tiket dan Itali jelas perlu bersaing dengan skuad yang diketuai oleh Gareth Bale, Zlatan Ibrahimovic, Cristiano Ronaldo dan Robert Lewandowski.

Sememangnya ia tugas berat tetapi jika gagal, Mancini dan anak buahnya hanya boleh menyalahkan diri sendiri.